Carian
Oppo Reno Dan Reno 10X Zoom Edition Kini Rasmi – Dijana Snapdragon 855 Dan Kamera Zum Optik 10X Nirhilang
April 10, 2019 Effi Saharudin

Oppo sebentar tadi melancarkan dua peranti baharu mereka iaitu Reno dan Reno 10X Zoom Edition. Oppo Reno 10X Zoom Edition ialah model dengan spesifikasi tertinggi iaitu skrin 6.6″ AMOLED FHD+, dijana pemproses Snapdragon 855, memori 6/8GB RAM, storan 128/256 GB, kamera utama 48+13+8 Megapixel, kamera swafoto 16-Megapixel dan bateri sebesar 4065 mAh.

Sistem kamera berperiskop yang disertakan membolehkan Reno 10X Zoom Edition melakukan zum optikal nirhilang sehingga 10X. Ini meletakkannya setanding dengan sistem yang ditemui pada Huawei P30 Pro. Keunikan lain peranti ini ialah kamera swafoto melungsur dengan rekaan mekanisme yang unik. Ia menjongket sebanyak 11 darjah dalam masa 0.08 untuk mendedahkan kamera hadapan.

Oppo Reno pula dilengkapi skrin 6.4″ AMOLED FHD+, dijana cip Snapdragon 710, memori 6/8 GB RAM, storan 128/256 GB, kamera utama 48+5 Megapixel, kamera hadapan 16-Megapixel dan bateri sebesar 3765 mAh. Seperti Reno 10X Zoom Edition, kamera hadapan disorokkan di dalam mekanisme melungsur.

Kamera utama 48-Megapixel pada kedua-dua model menggunakan sensor Sony IMX586. Resolusi rakaman video tertinggi yang boleh disokong ialah 4K 60FPS pada Reno 10X Zoom Edition dan 4K 30FPS pada Reno.

Skrin hadapan kedua-dua mendominasi 93.1% permukaan hadapan peranti. Kedua-dua model juga menyokong sistem pengimbas cap jari terbina dalam skrin. Pada waktu yang sama ia menyokong sistem pengecasan pantas SuperVOOC 3.0. Akhir sekali peranti menggunakan sistem operasi Android Pie dengan pelancar ColorOS 6.

Oppo Reno dijual pada harga RMB 2999 (~RM 1832) untuk versi 6/128GB  dan meningkat ke RMB 3599 (~RM 2199) untuk versi 8/256GB. Oppo Reno 10x Zoom Edition pula dijual pada harga RMB 3999 (~RM 2433) untuk versi 6/128GB dan meningkat ke RMB 4799 (~RM 2931) untuk versi 8GB/256GB. Pelancaran global kedua-dua peranti ini akan berlangsung di Zurich pada 24 April hadapan.

Komen