Cari @ Amanz

Surface Hub 2 diperlihatkan tahun lalu sebagai skrin gergasi untuk digunakan di bilik mesyuarat syarikat. Ia sebenarnya adalah sebuah komputer Windows 10 dengan fungsi unik skrin yang boleh diputarkan untuk pelbagai kegunaan. Pagi ini Microsoft mengumumkan Surface Hub 2 akan dijual dengan nama baharu Surface Hub 2S. Ia ditawarkan dengan pilihan skrin 85-inci 4K atau skrin 50.5-inci 4K.

Surface Hub 2S dilengkapi skrin 50.5″ IPS LCD dengan teknologi PixelSense ini dan bernisbah 3:2. Ia dijana cip Intel Core i5 generasi kelapan empat teras, GPU Intel UHD Graphics 620, memori sebesar 8GB RAM dan storan SSD 128GB.

Sebagai sebuah PC, ia hadir dengan USB-A, 4 USB-C, input HDMI, input DP, output miniDP, dan juga port LAN RJ45. Pembesar suara stereo yang menghala ke hadapan juga disertakan. Dengan setiap pembelian, sebuah kamera web dan stylus Surface Hub 2 Pen disertakan. Seperti produk Surface yang lain, skrin menyokong sentuhan serta stylus.

Microsoft turut menjual aksesori cagak Steelcase Roam yang memudahkan Surface Hub digerakkan lengkap dengan roda. Turut dihasilkan ialah pek bateri Li-Ion APC Charge Mobile Battery yang membolehkan Surface Hub berfungsi tanpa memerlukan sambungan kepada palam kuasa di dinding. Surface Hub 2S ditawarkan pada harga $8,999.99  (~RM 37,224) bermula Jun 2019 manakala Surface Hubs 2S 85″ akan hanya ditawarkan pada tahun hadapan tetapi harga belum diumumkan.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd