Carian
Realme C2 Turut Dilancarkan – Helio P22, 4000mAh Dan Dwi-Kamera
April 22, 2019 Fahim Zahar

Realme 3 Pro baru sahaja dilancarkan sebentar tadi. Peranti kelas pertengahan ini dilihat dipadatkan dengan spesifikasi hebat dan juga pengecasan pantas VOOC. Mengejutkan, ia dijual pada harga serendah RM830 sahaja.

Selain daripada Realme 3 Pro, Realme turut melancarkan Realme C2. Di mana peranti ini adalah peranti kelas pertengahan asas. Realme C2 dijana dengan cip pemprosessan MediaTek Helio P22 dengan binaan 12nm. Peranti ini turut menggunakan skrin bertakuk kecil 6.1-inci HD+ dengan rekaan bingkai yang agak nipis. Peranti ini turut dipadankan dengan memori 2/3 GB dan storan dalaman 16/32 GB. Ia turut hadir dengan sokongan kad mikroSD sehingga 256GB.

Untuk kamera utama, ia menggunakan sistem dwi-kamera 13+2 MP. Manakala kamera swafoto pula adalah 5MP. Untuk pengecasan, ia tidak hadir dengan sebarang pengecasan pantas dan kapasiti bateri pula adalah 4000mAh. Peranti ini turut menjalankan Color OS 6.0 berasaskan Android 9.0 Pie dengan sokongan sistem nyahkunci imbasan wajah.

Peranti ini hadir dengan dua pilihan warna, hitam dan biru. Panel belakang pula dilihat menggunakan rekaan bercorak berlian. Ia dijual pada harga Rs. 5999 untuk 2/16 GB (~RM356) dan Rs. 7999 untuk 3/32 GB (~RM475).

Komen