Ketersambungan Internet sebagai satu kemudahan asas Malaysia kini sedang dibincangkan oleh kerajaan. Di masa hadapan sambungan Internet akan menjadi perkara yang perlu sama seperti bekalan elektrik dan air. Jadi tidak mengejutkan sambungan Internet akan diintegrasikan kepada pelbagai produk harian khususnya kenderaan. Huawei sudah melihat keperluan ini dan telah melancarkan kelengkapan 5G khusus untuk industri permotoran.
Modul MH5000 dilancarkan di Shanghai Autoshow semalam dan ia adalah cip yang berasaskan cip 5G Balong 5000 yang digunakan pada Mate X. Menurut Huawei MH5000 ialah modul Internet yang berkelajuan dan berkualiti tinggi. Sudah banyak kenderaan di pasaran yang mempunyai sokongan Internet terbina tetapi masih berasaskan teknologi 4G sahaja. Model MH5000 ialah yang pertama diumumkan khusus untuk kegunaan automotif. Jangan terkejut di masa hadapan pelan khusus untuk kereta akan diperkenalkan oleh pembekal perkhidmatan Internet tempatan.