Microsoft Kini Menjadi Syarikat Yang Bernilai $1 Trilion

Microsoft Kini Menjadi Syarikat Yang Bernilai $1 Trilion

Diterbitkan pada Apr 25, 2019 oleh .

Microsoft pada hari ini telah menjadi syarikat yang bernilai USD $1 trilion (~RM4.145 trilion), sekaligus meletakkannya sebagai syarikat ketiga yang berjaya menerima pencapaian ini. Sebelum ini, ia telah berjaya dicapai oleh Apple pada Ogos 2018 dan kemudiannya Amazon pada September 2018.

Kejayaan ini dapat dicapai selepas harga pasaran saham Microsoft menerima kenaikan yang melonjak – hasil daripada keuntungan yang sangat memberangsangkan pada suku lalu. Saham Microsoft pada hari ini dibuka pada harga USD $130 (~RM539) seunit, dengan kenaikan sekitar 4% daripada USD $125 (~RM518) seunit ketika ia ditutup semalam.

Harga pasaran saham Microsoft dilihat melonjak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, atas usaha mereka dalam membangunkan perkhidmatan berasaskan awanan. Mereka sedia hadir dengan Microsoft Azure, Office 365, OneDrive, dan sejumlah perkhidmatan Xbox yang memerlukan bayaran secara langganan kepada pengguna.

Walaupun ekonomi global pada saat ini sedang perlahan, para pelabur masih berminat dengan Microsoft kerana syarikat ini mampu menjana pendapatan yang konsisten. Selepas diterajui oleh kepimpinan baru, Microsoft dilihat aktif dalam menawarkan sejumlah perkhidmatan dan aplikasi yang berguna – tanpa mengira apa jua peranti yang digunakan.


TIPS & ULASAN