Carian
Iklan Realme Terkini Memperlihatkan Peranti Dengan Kamera Pop-Naik Mereka
April 30, 2019 Fahim Zahar

Nampaknya, peranti-peranti pintar sekarang mula mengikuti trend kamera pop-naik. Pengeluar peranti dari China sudah mempunyai banyak peranti sebegini. Vivo, Oppo, semalam Redmi mengacah peranti sebegini, kelak peranti mercu OnePlus dan terkini Realme juga mungkin akan hadir dengan peranti dengan kamera pop-naik mereka.

Dalam video iklan terkini Realme, satu peranti misteri telah kelihatan. Peranti ini dilihat mempunyai bicu audio 3.5mm dan rekaan skrin hampir nirbingkai dengan saiz ‘dagu’ besar. Peranti ini juga dilihat mungkin akan memfokuskan kepada audio, kerana dalam beberapa saat dalam video – kelihatan pelakon itu sedang melaras sesuatu yang kelihatan seperti aplikasi equalizer. Paling mengejutkan dan menarik, semestinya penampilan peranti Realme dengan kamera pop-naik.

Dalam TENAA, peranti bermodelkan RMX1901 adalah peranti dengan kamera pop-naik. Adakah ini peranti dalam video tersebut? Jika benar, peranti ini mempunyai dwi-kamera utama, tiada pengimbas cap jari belakang – jadi kemungkinan besar skrin adalah jenis OLED 6.5-inci FHD+ dan pengimbas cap jari adalah jenis bawah skrin. Akhir sekali adalah bateri bersaiz 3680mAh.

Adakah ini peranti mercu Realme untuk bersaing dengan Redmi Snapdragon 855? Atau hanya model kelas pertengahan premium lain? Tiada informasi lagi mengenai peranti ini. Oleh itu, sama-sama kita nantikan.

Komen