Carian
Pandang Pertama Google Pixel 3a – Kelahiran Semula Google Nexus 5X
May 9, 2019 Effi Saharudin

Apakah perkara yang paling penting pada sebuah peranti pintar? Ada yang mengatakan kamera ada juga yang mengatakan bateri. Sebagai pengguna Android sejak hampir sedekad, jawapan kami kini ialah perisian yang dikemaskini bagi mengelakkan kerentanan serta pepijat.

Google Pixel 3a ialah peranti kelas pertengahan terkini yang dilancarkan semalam. Ia cuba menarik minat pengguna yang mencari peranti kelas pertengahan yang merasakan Pixel 3 adalah di luar kemampuan mereka. Berikut ialah pandang pertama kami mengenai adik kecil kepada Pixel 3a XL.

Spesifikasi

Google Pixel 3a
Skrin 5.6″ FHD+
OLED
Pemproses Snapdragon 670
Cip 2.2 X 2 GHz Kryo Gold
1.7 X 4 GHz Kryo Silver
Cip Grafik Adreno 616
RAM 4 Gigabyte
Muatan Dalaman 64GB (Tiada slot mikro SD)
Kamera Utama 12 Megapixel
f/18, OIS, HDR
Kamera Depan 8 Megapixel f/2.0
Bateri 3000 mAh
(Pengecasan pantas)
SIM/Telefoni SIM Nano/ 4G
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Kalis Air Tiada
Sistem Imbasan Imbasan cap jari pada belakang peranti
Harga Jualan ~RM 1655

Google Pixel 3a hanya dilengkapi skrin sebesar 5.6″ FHD+ yang meletakkannya di antara Pixel 3a XL (6″) dan Pixel 3 XL (6.3″). Ia lebih besar berbanding Pixel 3 yang dilengkapi skrin 5.5″ QHD+. Teknologi OLED masih lagi digunakan selari bagi membolehkan peranti menggunakan mod gelap secara lebih menyeluruh kelak. Skrin ini mampu memaparkan kandungan HDR10.

Tiada takuk pada bahagian dahi peranti. Sebuah gagang telinga terletak di tengah-tengah manakala kamera swafoto pada bucu atas sebelah kiri. Dagu peranti juga amat besar walaupun tidak mempunyai pengimbas cap jari atau lohong pembesar suara sekunder di atasnya. Ini membuatkan Pixel 3a kelihatan seperti sebuah peranti yang direka dua tahun yang lalu. Peranti dengan dagu serta dahi yang besar kini tidak lagi kongruen dengan kehendak majoriti pengguna tetapi tidak bagi Google.

Cip Snapdaragon 670 digunakan yang mempunyai konfigurasi 2+6 teras. Ura-ura bahawa Snapdragon 710 akan digunakan adalah meleset sama sekali. Kedua-dua versi Pixel 3a dan 3a XL menggunakan pemproses kelas pertengahan yang berusia ini walaupun Snapdragon 730G telahpun berada di pasaran beberapa bulan yang lalu. Mengapa pemproses ini digunakan adalah misteri nusantara yang cuba kami dapatkan jawapannya sekiranya bertemu dengan wakil Google kelak.

Ini dipadankan dengan memori hanya sebesar 4GB RAM dan storan hanya sebesar 64GB. Sekali lagi ini adalah spesifikasi yang sama dengan Pixel 3a XL. Pada hemat kami ini adalah saiz RAM dan storan yang kecil untuk kegunaan semasa. Walaupun begitu ia bukan keputusan mengejutkan kerana Pixel 3 dan 3 XL juga hanya dilengkapi memori maksimum sebesar 4GB. Apakah yang terjadi jika anda kehabisan storan? Anda tiada pilihan selain memuat naik fail ke storan awanan atau ke PC kerana Pixel 3a tidak mempunyai slot kad mikro SD.

Kamera utama adalah sebesar 12.2-Megapixel f/1.8 manakala kamera swafoto pula sebesar 8-Megapixel f/2.0. Tiada lagi lensa sudut ultra lebar untuk mod swafoto pada bahagian hadapan. Mod potret bokeh masih boleh dilakukan menggunakan perisian semata-mata. Google masih belum bersedia untuk mengeluarkan peranti yang boleh mengakibatkan tripofobia jika pelbagai lensa digunakan pada kamera utama.

Dengan saiz 3000 mAh, bateri pada peranti ini boleh dikatakan kecil. Ia turut hanya menyokong pengecasan 18W menggunakan port USB-C. Menurut Google ini boleh memberikan hayat penggunaan sehingga 30 jam dengan sekali caj. Pada waktu yang sama sistem pengecasan nirwayar tidak disertakan dan eksklusif kepada Pixel 3 dan Pixel 3 XL sahaja buat masa ini.

Spesifikasi lain yang disertakan ialah pengimbas cap jari pada panel belakang, sokongan bluetooth 5.0, pembesar suara stereo, sisi yang boleh dipicit Active Edge dan juga bicu audio. Ia sebuah peranti yang mempunyai spesifikasi kelas pertengahan yang sederhana jika dibandingkan dengan peranti yang telahpun ditawarkan di pasaran Malaysia ketika artikel ini ditulis.

Pixel 3a jelas adalah pertaruhan Google di dalam arena telefon pintar pertengahan setelah sekian lama hanya melancarkan telefon pintar Pixel kelas mercu sahaja. Kali terakhir peranti kelas pertengahan dilancarkan oleh mereka ialah Nexus 5X hampir empat tahun yang lalu.

Rekabentuk

Pixel 3a dan 3a XL bukan sahaja berkongsi spesifikasi malahan berkongsi rekabentuk yang sama. Perbezaan terletak pada ketinggian dan lebar sahaja.

Dengan dahi serta dagu yang lebar, kami sebenarnya bingung mengapa tiada pembesar suara sekunder diletakkan pada bahagian dagu. Jika ia dilakukan pasti peranti kelihatan lebih simetri dan seimbang.

Sungguhpun begitu kami sebenarnya menyukai rekaan panel hadapan yang agak klasik ini. Sebab ia dilakukan mungkin berkait rapat dengan sistem navigasi gesture yang digunakan. Dengan adanya dagu, lebih mudah untuk jari menekan butang berbentuk pil pada bahagian bawah skrin. Bezel yang tebal pula memudahkan gesture back dari sisi yang akan diperkenalkan pada Android 10 Q kelak.

Bahagian belakang peranti diperbuat daripada bahan polikarbonat yang membuatkannya peranti terasa ringan di dalam genggaman. Akibatnya peranti terasa agak murah jika digunakan tanpa sebarang kerangka. Tetapi ia menyelesaikan masalah panel belakang yang terlalu mudah menjadi kotor dan terlalu licin. Kemasan adalah sedikit kasar sekaligus menukarkannya dari terlepas dari genggaman pengguna.

Butang kuasa dan suara terletak pada sisi kanan.  Ketiga-tiga peranti hadir dengan butang kuasa yang berlainan warna. Sekilas pandang amat mudah membezakan butang kuasa dan suara. Kedua-dua butang mempunyai binaan yang baik. Kedudukannya ergonomik sekali dan pada hemat kami Pixel 3a adalah lebih selesa digunakan berbanding Pixel 3a XL kerana saiznya yang tidak terlalu besar.

Port pengecasan USB-C dan pembesar suara diletakkan pada bahagian bawah. Sungguhpun terdapat dua lubang pembesar suara, hanya satu sahaja yang berfungsi manakala lubang sekunder hanya sekadar kosmetik. Bagi ya Bicu audio pula diletakkan pada bahagian atas. Kami lebih menyukai peranti dengan bicu aung masih setia dengan aksesori audio berwayar, bicu audio 3.5mm dikembalikan ke bahagian atas peranti. Harus kami akui kedudukannya adalah canggung kerana sudah menjadi kebiasaan kami menggunakan peranti dengan bicu audio pada bahagian bawah.

Pengimbas cap jari pada bahagian belakang adalah amat mudah untuk diakses. Sistem imbasan jarinya pantas dan membolehkan peranti dinyahkunci semasa masih lagi di dalam kocek.

Setakat ini hampir semuanya positif tetapi terdapat juga beberapa kekurangan yang agak ketara. Pertama sekali ialah Pixel 3a tidak mempunyai sebarang kemampuan kalis air tidak seperti Pixel 3 dan Pixel 3 XL. Ini sebenarnya tidak mengejutkan kerana jarang sekali peranti pertengahan hadir dengan kemampuan ini.

Masalah kedua ialah masalah yang kami rasakan lebih besar. Bonjol kamera yang wujud adalah agak besar. Apabila peranti diletakkan di atas meja, kebarangkalian lensa kamera utama tercalar adalah agak tinggi. Kerangka yang dijual oleh Google menyelesaikan masalah ini tetapi harus diakui terdapat ramai individu yang tidak suka membeli kerangka kerana ia menebalkan peranti sehingga sukar dikeluarkan dari kocek.

Secara keseluruhan pakej yang ditawarkan oleh Google Pixel 3a adalah amat menarik sekali. Jika diberikan pilihan kami memilih untuk menggunakan Pixel 3a berbanding Pixel 3a XL kerana ia lebih selesa dan hampir kesemua permukaan skrin boleh diakses mudah ketiga penggunaan sebelah tangan sahaja.

Antaramuka.

Ini adalah sebuah peranti dengan sistem operasi Android 9 Pie asli dengan pelancar Pixel Launcher. Ia adalah antaramuka paling minimalis yang boleh anda temui pada sebuah peranti Android. Ada pro dan kontra di sini. Pro adalah Pixel 3a XL akan menerima sokongan kemas kini sistem operasi sehingga tiga tahun. Pemberian kemas kini juga akan berlaku paling pantas sejurus selepas pengutamaan diberikan oleh Google.

Memandangkan ia paling minimalis, spesifikasi ultra tinggi sehingga 6GB RAM tidak diperlukan untuk memastikan peranti beroperasi dengan lancar. Dalam penggunaan selama beberapa jam kami menyedari tatalan adalah lancar dan pelancaran aplikasi adalah pantas. Kesemua fungsi baharu yang diperkenalkan oleh Google akan diterima dahulu oleh Pixel 3a seperti navigasi berasaskan realiti terimbuh yang diumumkan pagi tadi misalnya.

Terdapat juga kontra di mana jumlah aplikasi yang boleh dibuka serentak adalah terhad. Keperluan untuk melakukan segar semula aplikasi dapat dilihat selepas 7 aplikasi dibuka. Ini bukanlah situasi yang ideal bagi seorang pengguna tegar. Tambahan lagi tiada fungsi tambahan seperti tab sisi untuk pintasan pantas misalnya.

Harus kita akui untuk pasaran peranti kelas pertengahan di Malaysia, jumlah fungsi tambahan yang disertakan memainkan peranan penting oleh golongan pengguna. Ini meletakkan Pixel 3a sedikit ke belakang berbanding apa yang mampu ditawarkan Oppo, Vivo, Realme, Xiaomi dan Samsung misalnya.

Di Malaysia hanya golongan geeks sahaja yang akan memilih Android asli dengan fungsi tambahan. Tetapi berikut adalah beberapa fungsi terbina yang disertakan pada peranti ini.

Active Edge – Sisi boleh digenggam untuk melancarkan Google Assistant dengan pantas.

Digital Wellbeing – Kesihatan digital semakin dipandang serius. Menerusi Digital Wellbeing kesemua aspek peranti boleh dihadkan bagi mengurangkan ketagihan digital.

Kemas Kini Pantas – Kemas kini sistem operasi dan sekuriti paling pantas pada peranti Android.

Menapis Panggilan – Google Assistant boleh menyaring panggilan telefon secara automatik menggunakan teknologi Duplex. Buat masa ini hanya ditawarkan di Amerika Syarikat sahaja.

Navigasi Berasaskan Gesture – Ini ialah sistem navigasi masa hadapan Google. Tiada lagi sistem tiga butang. Kesemua fungsi peranti dikawal menggunakan satu butang bujur pada bahagian bawah dengan satu butang back.

Night Shot – Mod malam kamera yang mendapat pujian ramai.

Now Playing – Mengenalpasti audio yang didengari tanpa perlu disuruh

Storan Google Photos tanpa had – Storan yang kecil dalam peranti bukan masalah kerana wujudnya storan awanan Google Photos tanpa had.

Kesimpulan

Menerusi Google Pixel 3a, mereka kembali menghasilkan peranti kelas pertengahan yang bersaiz mesra sebelah tangan yang pertama sejak Nexus 5X. Ia sebuah telefon pintar yang menawarkan kebanyakan fungsi asas Pixel 3 pada harga yang lebih rendah. Spesifikasi peranti kami rasakan agak mengecewakan kerana saiz RAM dan storan yang kecil. Namun begitu kekuatan Pixel 3a terletak pada perisian yang disokong untuk tempoh yang lama serta pengoptimasian yang dilakukan oleh Google.

Pasaran telefon pintar Android kelas pertengahan adalah amat mencabar. Kami dapat melihat golongan sasaran Google untuk peranti ini ialah mereka yang PERLU sebuah Pixel tetapi tidak mahu membelanjakan wang yang lebih. Bagi pengguna lain terpaksa diakui pakej yang ditawarkan oleh Vivo, Xiaomi, Oppo dan Huawei kelihatan lebih menarik.

Kekuatan Pixel 3a juga boleh dilihat pada kemampuan kamera. Dalam beberapa gambar contoh yang kami ambil, kualitinya adalah amat baik bagi sebuah peranti kelas pertengahan. Fungsi bokeh pada kedua-dua kamera dapat dilakukan tanpa menggunakan sistem dwi-kamera. Fungsi Night Sight juga kerap kali menerima pujian dan hanya mampu dikalahkan oleh P30 Pro.

Google Pixel 3a dijual pada harga $399 (~RM 1655) sebuah. Haruskah anda membelinya? Jika Android asli, kemas kini perisian terpantas dan harga jualan mampu milik adalah amat penting maka Pixel 3a dihasilkan khusus untuk anda.

Komen