Mod Desktop Pada Android Asli Mungkin Akan Hadir Tidak Lama Lagi

Mod Desktop Pada Android Asli Mungkin Akan Hadir Tidak Lama Lagi

Diterbitkan pada Mei 13, 2019 oleh .

Mod desktop adalah satu mod yang membantu pengguna yang banyak melakukan multi-tugasan. Contohnya, WhatsApp di telefon pintar, kerja-kerja mengira dan menaip di paparan kedua. Mod desktop seperti ini telah diimplementasikan dalam telefon pintar seperti Huawei melalui Easy Projection dan Samsung melalui DeX.

Walau bagaimanapun, fungsi ini tidak boleh digunakan pada peranti yang menjalankan Android asli atau sistem operasi seakan Android asli – contohnya; Android One dan Oxygen OS. Binaan Android Q Beta pada Mac lepas telah pun mempunyai mod ini secara terbina. Namun pada acara Google I/O 2019, mod desktop ini tidak diterangkan. Tetapi dalam satu sesi khas bersama jurutera perisian Google – Andrii Kulian, beliau telah kongsikan dengan lebih jelas mengenai mod desktop ini. Menurut beliau, pembangun perlu ubahsuai semua sokongan aplikasi mereka agar ia boleh dipaparkan dalam apa jua saiz/keadaan skrin.

Mod desktop dari Google ini akan tawarkan sokongan penggunaan dua aplikasi sama serentak, papan kekunci khas untuk paparan kedua, gambar latar beranimasi (live wallpaper) berasingan untuk peranti dan paparan, sokongan pelancar pihak ketiga dan juga memaksa aplikasi menyokong mod desktop. Banyak fungsi yang ditawarkan, namun buat masa ini ia masih lagi dalam pembangunan awal dan sokongan mod desktop ini mempunyai kod yang sama untuk menyokong paparan boleh lipat atau peranti dengan dwi-skrin.

Kelak apabila Android Q sudah stabil, mungkin Google akan mengumumkannya. Sama-sama kita nantikan.


TIPS & ULASAN