Sejak digunakan pada Perang Dunia Pertama, pertempuran antara pesawat pejuang menguji kepakaran dua dua juruterbang manusia. Dengan pesawat yang semakin canggih, pertempuran satu lawan satu akan menjadi semakin jarang kerana misil yang boleh memusnahkan musuh dari jarak jauh. Namun begitu latihan pertempuran udara masih dilakukan bagi memastikan musuh dapat ditembak jatuh dari jarak dekat bila diperlukan.
Tetapi kuasa besar dunia mula membangunkan dron pengiring yang terbang bersama pesawat yang dipandu manusia. Di dalam situasi berlakunya pertempuran udara jarak dekat, dron-dron ini perlu mempunyai kepakaran yang setanding dengan juruterbang manusia. Oleh itu projek Air Combat Evolution (ACE) telah diumumkan oleh DARPA.
Dengan ACE, DARPA berharap kecerdasan buatan dapat dibangunkan untuk mengawal dron pengiring seperti Loyal Wingman. Ini akan membolehkan dron bukan sahaja menembak jatuh pesawat musuh tetapi turut menjadi pengikut yang mengawal bahagian belakang pesawat yang diterbangkan manusia dari diserang. DARPA akan mengadakan acara pada 17 Mei yang menerima cadangan dari pihak yang ingin membangunkan kecerdasan buatan untuk ACE.