Siri OnePlus 7 sudah pun dilancarkan malam tadi. Terdapat tiga peranti yang dilancarkan iaitu OnePlus 7, OnePlus 7 Pro dan OnePlus 7 Pro 5G. Fokus utama OnePlus adalah pada OnePlus 7 Pro, kerana ia mempunyai banyak perkara baru dari segi rekaan, kamera, skrin dan banyak lagi.
Kami berkesempatan untuk mencuba OnePlus 7 Pro dalam masa yang singkat. Jujur kami katakan, ia adalah antara peranti OnePlus yang paling hebat pernah kami cuba. Untuk ketahui kehebatan peranti ini, artikel ini adalah artikel pandang pertama kami.
Spesifikasi
OnePlus 7 Pro menggunakan skrin 6.67-inci Fluid AMOLED dengan resolusi QHD+. Selain itu, ia turut mempunyai kadar segar 90Hz dan dan sokongan paparan HDR10+. Bukan itu sahaja, apabila skrin peranti ini ditetapkan kepada 90Hz ia akan terkunci dan kekal 90Hz. Kemudian turut terbina pada peranti ini adalah mod paparan pintar yang mana akan mengubah resolusi dari QHD+ ke FHD+ mengikut kandungan yang dibuka.
Jelas sekali di sini, OnePlus cuba cuba mengambil langkah seakan Samsung pada siri Galaxy S mereka. Kerana banyak ciri paparan dalam peranti OnePlus 7 Pro ini mirip yang ada pada Samsung. Contohnya, ‘Video Enhancer‘. Menggunakan skrin peranti ini sungguh memuaskan. 90Hz itu sangat lancar baik menatal laman web, membuka apa jua aplikasi sehinggalah kembali ke skrin utama.
Menguasai peranti ini adalah cip pemprosesan Snapdragon 855 yang dipadankan dengan pilihan memori 6/8/12 GB RAM dan storan dalaman dari 128/256 GB. Apa yang menarik dengan storan ini adalah, ia berasaskan UFS 3.0 yang juga merupakan yang terawala selepas Samsung Galaxy Fold.
Beralih kepada kamera, OnePlus 7 Pro kini mempunyai kamera yang terbaik. Di mana skor DXOMark adalah 111 dan peranti ini berada di tangga tiga teratas. Hanya kurang satu mata dengan Huawei P30 Pro. Kamera utama OnePlus 7 Pro adalah gabungan lensa 48MP + 16MP ultra-lebar + 8MP telefoto 3x. Untuk kamera swafoto pula, OnePlus menggunakan sistem kamera pop-naik dengan lensa 16MP.
Kamera peranti ini turut mempunyai sokongan OIS dan kemampuan merakam video sehingga 4K 60FPS. Untuk pembesar suara, OnePlus kali ini menggunakan pembesar suara stereo yang dikuasakan oleh Dolby Atmos. Kapasiti bateri peranti ini adalah 4000mAh dengan sokongan pengecasan pantas Warp Charge 30.
Rekaan
Peranti ini mempunyai rekaan yang sungguh seksi. Ia mengingatkan saya kepada Oppo Find X. Di hadapan boleh dikatakan hampir tiads bezel langsung. Dagu yang sangat nipis dan bahagian sisi hampir tiada bingkai kerana ia menggunakan skrin melengkung. Di bahagian belakang, ia mirip OnePlus 6T cuma mempunyai tri-kamera. Panel belakang adalah berasaskan kaca dan mudah menangkap kotoran cap jari.
Di bahagian atas terdapat mikrofon dan kamera pop-naik. Di bahagian bawah pula adalah terdapat kekisi pembesar suara, mikrofon, port USB-C dan slot sim. Di sisi kanan terdapat butang ikonik OnePlus iaitu butang senyap dan butang kuasa. Manakala sisi kiri hanya mempunyai butang aras suara.
Perisian
Seperti biasa, OnePlus akan menggunakan Oxygen OS. Tidak banyak perubahan pada sistem operasi OnePlus, namun ada beberapa perakara yang ditambah khusus untuk OnePlus 7 Pro. Contohnya pada bahagian tetapan paparan, terdapat tetapan khas untuk ubah kadar segar 90Hz dan 60Hz dan mod pengaktifan Video Enhancer.
Ciri-ciri dan fungsi-fungsi unik lain masih dikekalkan. Cuma mod permua kini telah diubah kepada Fnatic Mode. Untuk unit ujian kami, mod ini masih belum diterima. Seterusnya adalah pada tetapan suara yang kini mempunyai mod Dolby Atmos dan juga tetapan mengubah tahap getaran. Motor getaran OnePlus 7 Pro ini adalah antara yang terbaik pernah hadir dalam semua peranti Android selepas Pixel 3.
Ciri/Fungsi unik yang terdapat adalah;
Adaptive RAM – Mod ini adalah seakan mod Adaptive Display/Battery. Namun ia memfokuskan kepada RAM untuk pengurusan memori yang lebih efisien.
OnePlus Shelf – Ia adalah ruang khas untuk pintasan kepada pelbagai aplikasi atau fungsi seperti kenalan kegemaran atau widget.
OnePlus Switch – Fungsi yang memudahkan pengguna berhijrah dari peranti lain ke OnePlus. Fungsi ini akan memindahkan semua data dari peranti lama ke peranti OnePlus.
Parking Location – Seperti yang terbina pada Google Assistant. Mod ini akan mengingatkan pengguna lokasi parkir. Ia turut hadir dengan aplikasi kamera dan nota.
Reading Mode – Menjadikan skrin hitam/putih dan kekuningan untuk memudahkan pengguna menggunakan peranti untuk tujuan membaca.
Zen Mode – Ia adalah fungsi yang paling hebat bagi saya. Ia seakan fungsi Digital Wellbeing untuk mengawal obsesi penggunaan peranti. Cuma, Zen Mode tidak akan memantau cara penggunaan – tetapi akan terus mengunci peranti dalam masa tertentu dan cara untuk kembali menggunakan peranti adalah dengan format peranti.
Oxygen OS ramai gelarkan ia sebagai Android asli yang terbaik. Ini kerana secara keseluruhan ia mirip Android asli, cuma terdapat banyak ciri-ciri unik yang tiada pada Android asli sebenar.
Pengalaman Penggunaan
Atas percubaan dalam masa yang singkat ini, prestasi OnePlus 7 Pro tidak dinafikan antara yang terbaik. Sungguh memuaskan. Tambahan dengan skrin yang sangat cantik dan kadar segar 90Hz pengalaman menggunakannya sungguh menakjubkan. Bermain permua tiada masalah dan menstrim kandungan HDR di YouTube juga hebat.
Pembesar suara stereonya cukup baik. Agak kuat dari biasa, cuma masih belum dapat menandingi Samsung Galaxy S10. Walaupun mempunyai Dolby Atmos, pembesar suara pada OnePlus 7 Pro mempunyai bass yang kurang memuaskan yang mana secara tidak langsung menjadikan hasil audio sedikit tajam. Seterusnya, OnePlus telah memperkenalkan pengimbas cap jari bawah skrin yang terpantas setakat ini. Walau bagaimanapun ia masih lagi berasaskan optikal dan skrin akan diterangkan secara automatik untuk seketika.
Peranti ini agak berat, ia mempunyai jisim melebihi 200 gram. Saiznya agak besar, ia seakan S10+ dan tidak mempunyai cengkaman yang baik. Ia sangat licin. Masa pengecasan agak pantas, beberapa minit cas memberi kami cukup masa untuk menguji dalam masa setengah hari.
Konklusi
Selepas meluangkan masa selama beberapa jam dengan OnePlus 7 Pro, tidak dinafikan, peranti ini adalah antara yang terbaik. Ia mungkin boleh besaing dengan Galaxy S10 dari segi prestasi dan kamera. Untuk ketahui kehebatan sebenar OnePlus 7 Pro ini, nantikan sahaja ulasan kami.
OnePlus 7 Pro akan dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada 21 Mei. Kali ini, ia diedarkan oleh XianFeng dan bukan lagi Mi Han. Harga jualan masih belum diumumkan, namun menurut sumber kami – harga mungkin akan bermula dari RM3,599 dan akan meningkat sehingga RM4,399. Sama-sama kita nantikan.