Pada September tahun lepas, Gaël Duval telah hadir dengan sistem operasi Android tersendiri berasaskan Lineage OS – /e/. /e/ adalah sistem operasi yang memfokuskan privasi pengguna di mana semua data yang tersimpan pada peranti ini adalah milik pengguna tersendiri dan tidak akan diselarikan atau disimpan di Internet.
Perkara ini tidak mustahil kerana /e/ adalah satu ROM tanpa sebarang GApps. GApps adalah aplikasi-aplikasi daripada Google, termasuk aplikasi sistem dan juga segala perkhidmatan Google untuk telefon pintar. Projek terkini /e/ adalah untuk menjual beberapa peranti terpakai yang sudah dibaiki semula (refurbished) dan menjalankan sistem operasi /e/ pada peranti-peranti ini. Antara peranti yang bakal dijual adalah Samsung Galaxy S7/S7 Edge dan Samsung Galaxy S9/S9+.
Kondisi peranti ini adalah gred A dan pihak /e/ turut menawarkan jaminan selama 1 tahun. Dengan menjual peranti yang menjalankan /e/ secara terbina, pengguna yang membeli peranti ini akan merasai pengalaman sebuah peranti nirGoogle. Ini bermakna, bakal pemilik peranti-peranti ini akan bebas daripada penjejakan data oleh Google atau apa jua isu-isu berkait dengan data dan privasi.
Bukan itu sahaja, ini bermakna peranti ini akan bebas daripada sebarang iklan – kecuali melalui aplikasi (perlu pasang melalui .APK) dan laman web yang dilayari pengguna. Harga peranti yang dijual adalah daripada €279 sehingga €549, iaitu sekitar RM1305 sehingga RM2568 sebuah.