SanDisk Telah Mula Menawarkan Kad MikroSD Sebesar 1TB – Dijual Pada Harga Sekitar RM1877

SanDisk Telah Mula Menawarkan Kad MikroSD Sebesar 1TB – Dijual Pada Harga Sekitar RM1877

Diterbitkan pada Mei 16, 2019 oleh .

Pihak SanDisk telah sedia memperlihatkan kad mikroSD dengan kapasiti 1TB di acara MWC 2019 pada bulan Mac lalu. Berita baik bagi anda yang ingin mendapatkannya, kad ini telah pun mula ditawarkan untuk pasaran pengguna.

Jualan kad ini telah diperlihatkan melalui halaman rasmi SanDisk, yang mana baru sahaja diletakkan pada awal pagi tadi. Ia dijual pada harga $449.99 USD (~RM1877) dan sedia menawarkan stok untuk dibeli oleh pengguna.

Kad ini membawakan piawaian UHS Speed Class 3 (U3) dalam membolehkannya membuat penulisan data sepantas 60MB/saat dan pembacaan data pada kelajuan mencapai 90MB/saat. Ia juga hadir dengan piawaian A2 untuk membolehkan aplikasi Android yang disimpan dapat dibaca dengan lebih pantas.

Walau bagaimanapun, penghantaran kad ini hanya ditawarkan untuk pasaran Amerika Syarikat sahaja buat masa ini. Namun dengan bermulanya penjualan kad 1TB ini, ia dijangka akan diperluaskan ke banyak negara yang lain apabila ia menerima permintaan yang tinggi daripada pengguna.


TIPS & ULASAN