Ini Adalah Komen Huawei Berkaitan Halangan Penggunaan Perkhidmatan Android Dari Google

Ini Adalah Komen Huawei Berkaitan Halangan Penggunaan Perkhidmatan Android Dari Google

Diterbitkan pada Mei 20, 2019 oleh .

Awal pagi ini, kita telah dikejutkan apabila laporan berkaitan pihak Google menarik lesen Android terhadap Huawei – sekaligus membawa kepada pelbagai pertanyaan berkaitan masa hadapan perniagaan telefon pintar Huawei. Untuk makluman, telefon pintar sedia ada masih disokong seperti biasa, dan pengguna masih boleh menikmati kemaskini aplikasi tanpa masalah melalui Google Play Store.

Terkini, bercakap lanjut mengenainya, pihak Huawei telah mengeluarkan komen rasmi mereka, dan menjanjikan beberapa perkara. Berikut merupakan komen pihak Huawei terhadap isu ini:

Huawei telah membuat sumbangan yang banyak dalam pembangunan dan pertumbuhan Android diseluruh dunia. Sebagai salah satu rakan kerjasama utama Android, kami telah bekerjasama dengan platform sumber terbuka berkenaan untuk membangunkan ekosistem yang menguntungkan pengguna dan juga industri.

Huawei akan terus memberikan kemaskini sekuriti dan perkhidmatan selepas jualan untuk semua produk telefon pintar dan tablet Huawei serta HONOR, meliputi produk yang telah dijual dan juga produk dalam stok secara global.

Kami akan terus membangunkan ekosistem yang selamat dan berkesinambungan, dalam usaha memberikan pengalaman terbaik kepada pengguna seluruh dunia.

Huawei P30

Melalui komen pihak Huawei, mereka sekali lagi mengesahkan yang mana pengguna produk sedia ada masih boleh menggunakannya seperti biasa – dan kekal menikmati kemaskini aplikasi dari Play Store, selain kemaskini sekuriti.

Namun, persoalan mengenai kemaskini Android akan datang masih tidak diketahui lagi, dan Huawei juga masih belum memberikan komen berkaitan apakah masa depan peranti mudah-alih mereka. Untuk makluman, Huawei sedia membangunkan sistem operasi tersendiri sejak beberapa tahun lepas – tetapi ekosistem aplikasi akan turut menjadi titik tolak untuk kejayaannya.

Seperti biasa, sama-sama kita nantikan perkembangan lanjut berkaitan Huawei dan Amerika Syarikat, dan sama-sama kita berharap agar mereka dapat menyelesaikan pertikaian perdagangan ini secepat mungkin.


TIPS & ULASAN