Google Mengesahkan Perkhidmatan Seperti Play Store Akan Diteruskan Pada Peranti Huawei Sedia Ada
Effi Saharudin
Antara persoalan yang kami terima pasca pengumuman penarikan sokongan Android pada peranti Huawei ialah apa akan terjadi kepada peranti sedia ada. Tindakan yang diambil oleh Google ini mendatangkan kerisauan kepada ratusan pengguna peranti Huawei di dunia.
For Huawei users' questions regarding our steps to comply w/ the recent US government actions: We assure you while we are complying with all US gov't requirements, services like Google Play & security from Google Play Protect will keep functioning on your existing Huawei device.
— Android (@Android) May 20, 2019
Pihak Google sebentar tadi telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkhidmatan Android pada peranti sedia ada. Mereka mengesahkan perkhidmatan seperti Play Store dan Play Protect akan terus disokong. Sokongan nampaknya hanya akan dihentikan pada peranti yang masih belum dilancarkan.
Ini menimbulkan persoalan apakah akan berlaku kepada peranti yang masih belum dijual seperti Huawei Mate X dan Honor 20 Pro. Kenyataan yang lebih lengkap mengenai isu ini masih kami nantikan dan artikel akan dikemaskini sejurus selepas ini diketahui.
Huawei telah mengeluarkan komen rasmi berkaitan perkara ini. Berikut merupakan komen rasmi Huawei berkaitan masalah ini:
Huawei telah membuat sumbangan yang banyak dalam pembangunan dan pertumbuhan Android diseluruh dunia. Sebagai salah satu rakan kerjasama utama Android, kami telah bekerjasama dengan platform sumber terbuka berkenaan untuk membangunkan ekosistem yang menguntungkan pengguna dan juga industri.
Huawei akan terus memberikan kemaskini sekuriti dan perkhidmatan selepas jualan untuk semua produk telefon pintar dan tablet Huawei serta HONOR, meliputi produk yang telah dijual dan juga produk dalam stok secara global.
Kami akan terus membangunkan ekosistem yang selamat dan berkesinambungan, dalam usaha memberikan pengalaman terbaik kepada pengguna seluruh dunia.