Cari @ Amanz

Huawei telah sedia berkongsi beberapa kali yang mana mereka sedang membangunkan sistem operasi tersendiri. Kini, dengan sekatan perdagangan dan sebagainya, Huawei dilihat mempercepatkan lagi proses berkenaan.

Melalui laporan baru yang hadir ke arena internet hari ini, ia dikatakan Richard Yu, CEO Huawei Consumer Business Group berkongsi mengatakan yang mana sistem operasi berkenaan akan hadir seawal penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan – dan boleh digunakan pada telefon pintar, tablet, televisyen, peranti boleh-pakai, dan sebagainya.

Menariknya, sistem operasi berkenaan dijangka turut menyokong aplikasi Android sedia ada, dan dikatakan bakal menawarkan prestasi lebih baik melaluinya. Ia tidak diketahui lagi sama ada sistem operasi baru daripada Huawei ini berasaskan Android atau sebaliknya. Sebelum ini, beberapa sistem operasi lain turut hadir dengan sokongan aplikasi Android padanya – termasuk BlackBerry dan juga Sailfish OS.

Apa pun, salah satu cabaran utama kelak selepas memperkenalkan sistem operasi berkenaan adalah menarik pembangun untuk platform berkenaan. Huawei sedia memperluaskan penawaran App Gallery secara berperingkat sebelum ini, dan mungkin ia akan turut menjadi titik tolak dalam kejayaan sistem operasi ini.


Ia masih menjadi tanda tanya sama ada Huawei akan menggunakan sistem operasi baru ini pada peranti mereka, atau sebaliknya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd