OnePlus 7 Pro adalah variasi peranti OnePlus paling premium dan paling mahal setakat ini. Di Malaysia harganya mencecah RM4199 seunit. Mahal macam mana pun sesebuah peranti itu, mereka tidak lari dengan masalah-masalah. Terkini, ramai pengguna OnePlus 7 Pro dari luar negara telah membuat aduan yang hasil kamera peranti ini tidak memberangsangkan.
DXOMark memberi markah 111, yang mana merupakan kurang satu mata dengan Huawei P30 Pro. Dari segi skor ia memang hebat, tapi di dunia realiti dan pengalaman penggunaan sebenar? Di forum rasmi OnePlus, terdapat bebenang perbincangan khas ‘camera quality sucks...’. Dalam perbincangan ini, ramai pengguna yang kecewa dengan kamera OnePlus 7 Pro. Kamera peranti ini menggunakan tri-kamera belakang gabungan kamera 48-megapixel + 16-megapixel ultra-lebar + 8-megapixel telefoto. Manakala untuk swafoto pula ia menggunakan sistem pop-naik 16MP.
Pengurus Produk Oxygen OS – Jimmy Z, telah memberi kenyataan yang pasukan kamera sedang menganalisa isu dan akan memperbaiki masalah yang pengguna hadapi. Markah DXOMark yang tinggi itu pula diperoleh melalui firmware yang belum hadir kepada umum, contohnya mod Nightscape 2.0 dan kesan HDR yang diperbaiki. Firmware ini dikatakan hanya akan hadir sekitar 1 minggu lagi. Jadi, buat masa ini pengguna akan tersangkut dengan masalah kamera yang tidak sehebat seperti skor DXOMark.
Nampaknya, moto OnePlus ‘Never Settle’ menjadi realiti untuk OnePlus 7 Pro ini. Masalah tidak pernah settle. Tetapi usah risau, ini bermakna sebaik sahaja stok OnePlus 7 Pro sampai kepada pengguna di Malaysia – kemaskini ini sudah hadir dan sedia dimuat turun. Jadi bersyukur juga, pengguna Malaysia terima peranti ini sedikit lambat dengan pasaran lain.