Terdapat banyak stigma yang terpaksa dihadapi penghidap penyakit HIV dan sifilis di Malaysia. Mereka kerap disisihkan keluarga dan dianggap jijik. Tetapi menerusi perkembangan teknologi sains perubatan, stigma ini sedikit demi sedikit berjaya dihapuskan. Terkini Malaysia menjadi negara pertama di kawasan Pasifik Barat yang berjaya menghalang tranmisi jangkitan HIV dan sifilis dari ibu ke anak menurut laporan WHO.
Ini adalah kerana usaha Kementerian Kesihatan Malaysia sejak 1998 memberikan rawatan anti retroviral (ART) percuma kepada ibu yang menghidap HIV dan sifilis. Tanpa rawatan ART ketika hamil, kebarangkalian jangkitan HIV dipindahkan adalah di antara 15-45%. Tanpa rawatan sifilis ketika hamil pula boleh mengakibatkan keguguran, lahir mati dan mengalami masalah kesihatan seumur hidup.
Kejayaan Malaysia ini amat membanggakan kerana kita adalah antara terawal yang mengambil inisiatif memberikan akses kepada saringan HIV ketika hamil. Sejurus selepas ia dikesan, akses kepada rawatan diberikan percuma tidak seperti di beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat. Hasilnya ialah bayi bukan sahaja bebas dari penyakit yang berbahaya ini malah dapat hidup tanpa stigma masyarakat.
Pelbagai kajian yang dilakukan bagi menentang wabak HIV kini mendatangkan kesan. Ia kini bukan lagi dianggap sebagai hukuman mati kepada penghidap. Terdahulu kajian rawatan ART didapati dapat menghalang pemindahan virus HIV dari pesakit homoseksual kepada pasangan walaupun mereka melakukan hubungan seks tanpa pelindungan.