Cari @ Amanz

Majoriti golongan profesional yang menyunting video dan menghasilkan karya seni memilih untuk menggunakan platform Mac. Kelebihan yang diberikan ialah sistem operasi yang lebih stabil dan kurang memberikan masalah berbanding PC. Kepantasan yang ditawarkan oleh Mac juga antara faktor utama mengapa ini berlaku.

Untuk menarik minat pengguna profesional ke platform PC, platform NVIDIA Studio telah diumumkan semalam. Menerusi platform ini kad grafik keluarga NVIDIA RTX dipadankan dengan pelbagai perisian yang telah dioptimasikan lengkap dengan pemandu yang terkini.

Kad grafik yang disokong adalah dari keluarga Quadro RTX (5000, 4000, 3000) dan GeForce RTX (2080, 2070, 2060). Menerusi pengoptimasian NVIDIA Studio, kemampuan melakukan suntingan video dan menghasilkan animasi 3D misalnya boleh meningkat ke 7X lebih baik berbanding MacBook menurut NVIDIA.

PC yang memenuhi piawaian yang ditetapkan akan hadir dengan lencana RTX Studio apabila dijual. Sebanyak 17 komputer riba dengan RTX Studio telah diumumkan di Computex semalam antaranya ialah Razer Blade Studio Edition.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd