Walaupun jam tangan pintar telah lama wujud di pasaran, ramai pengguna masih belum mahu memilikinya. Antara sebab paling utama ialah ketahanan bateri yang rendah sehingga perlu dicas setiap hari. Bagi golongan ini, jam tangan pintar Amazfit Verge Lite telah dilancarkan dengan ketahanan bateri sehingga 20 hari.
Amazfit Verge ialah versi mampu milik kepada Amazfit Verge yang dilancarkan pada September tahun lalu. Ia dilengkapi skrin bulat 1.3 inci AMOLED dan bateri sebesar 390 mAh. Terdapat pengimbas nadi, sistem GPS dan accelerometer. Tali jam adalah sebesar 43mm yang sesuai digunakan oleh mereka yang mempunyai pergelangan tangan yang besar.
Dengan kemampuan kalis air IP68, Verge Lite sesuai digunakan untuk pelbagai aktiviti sukan yang boleh dijejak secara automatik. Akhir sekali ia turut boleh mengesan aktiviti tidur pemakai. Di China Amazfit Verge Lite dijual pada harga RMB 499 (~RM 303). Ini adalah lebih murah berbanding Verge yang dijual di Malaysia pada harga RM689.