Selain pengenalan iOS 13 yang memfokuskan iPhone, Apple hari ini turut membuat kejutan dengan memperkenalkan sebuah lagi sistem operasi terbaru memfokuskan tablet iPad mereka, iaitu iPadOS.
Apple iPadOS hadir dengan sejumlah ciri-ciri menarik daripada iOS, tetapi pada masa yang sama menyertakan sejumlah ciri-ciri tambahan menarik dalam menjadikan anda lebih produktif, selain membolehkan anda menggunakan skrin bersaiz besar berkenaan dengan lebih menyeluruh.
Antara perubahan baru pada iPadOS adalah termasuk integrasi widget pada skrin utama yang boleh dilihat terus bersama-sama senarai aplikasi lain.
Selain daripada itu, aplikasi Files akan menambah sejumlah sokongan baru, termasuk untuk mengakses kandungan daripada pemacu USB ataupun daripada kad SD. Apple turut mengumumkan penambahan beberapa gesture khusus dalam memudahkan pelbagai penyuntingan pada iPad.
iPadOS juga turut menambah sokongan gestur multi-tugasan untuk aplikasi yang dipaparkan pada bahagian tepi, yang mana membolehkan anda mengakses sesuatu aplikasi dengan lebih pantas dan mudah.
Dengan pengasingan iPadOS khusus untuk iPad ini, ia dilihat akan membolehkan Apple memperkenalkan lebih banyak ciri menarik untuk tablet mereka, sekaligus menjadikannya sebagai sebuah mesin produktiviti seumpama Mac.