Samsung sedia menggunakan teknologi ARM pada cip pemprosesan Exynos keluaran mereka, termasuk untuk penawaran grafik berasaskan Mali. Namun, bergerak kehadapan, Samsung mungkin hadir dengan alternatif lain pada penawaran mereka.
Hari ini, Samsung dan AMD membuat kejutan dan telah mengumumkan kerjasama, dimana melaluinya AMD akan melesenkan teknologi grafik Radeon mereka untuk digunakan pada telefon pintar dan aplikasi mudah-alih keluaran Samsung.
Dengan langkah ini, kita akan dapat melihat integrasi teknologi AMD terus pada cip pemprosesan Exynos keluaran Samsung – sekaligus menjana peranti mudah-alih keluaran Samsung.
Seperti ramai sedia maklum, teknologi grafik AMD sedia digunakan pada komputer mahupun pada konsol. Malah, baru-baru ini AMD turut telah mengumumkan RDNA yang membawakan kuasa grafik lebih berkuasa. AMD sendiri terkenal dengan penawaran grafik berkuasa, dan dengan Samsung melesenkan teknologi dan IP daripada AMD, kita mungkin akan dapat melihat integrasi grafik berkuasa pada peranti mudah-alih keluaran mereka.
Seperti biasa, sama-sama kita nantikan bilakah kita akan dapat melihat cip Exynos pertama — mahupun telefon pintar Samsung pertama yang hadir dengan teknologi grafik AMD ini.