Apple pada awal pagi ini telah mengadakan acara WWDC, dimana mereka berkongsi sejumlah perancangan berkaitan penawaran perisian dan sistem operasi daripada mereka. Pada acara berkenaan juga, Apple mengumumkan yang mana iTunes tidak lagi akan ditawarkan untuk macOS, sebaliknya ia dipecah kepada tiga aplikasi iaitu Music, Podcasts dan juga TV.
Walaubagaimanapun, perubahan ini dilihat tidak akan memberikan kesan untuk pengguna Windows. Untuk makluman, pihak Apple menyediakan iTunes untuk Windows yang memudahkan pengguna peranti Apple menguruskan peranti, selain pada masa yang sama menguruskan kandungan seperti muzik dan video.
iTunes untuk Windows akan ditawarkan seperti biasa buat masa ini. Namun, ia tidak diketahui sama ada Apple akan meneruskan sokongan untuknya atau sebaliknya.
Apa pun, ia dilihat Apple tiada perancangan untuk memecahkan penawaran iTunes untuk tiga aplikasi berbeza seperti pada macOS. Dengan penawaran untuk platform Windows ini, boleh dikatakan yang mana iTunes masih kekal hidup dan tidak mati sepenuhnya.