Seperti biasa, jika Apple hadir dengan satu fungsi berguna – Android juga akan mengikut jejak langkah Apple. Begitu juga dengan Apple yang paling banyak kali ‘meniru’ ciri dan fungsi Android. Contoh terbaru adalah fungsi ‘True Tone‘ pada Apple, fungsi seperti ini turut terbina dalam peranti OnePlus – ‘Night Mode‘. Fungsi ini akan menjadikan skrin peranti kekuningan agar ia memberikan keselesaan kepada pengguna.
Terkini, Google dilaporkan turut akan hadir dengan fungsi seakan ‘True Tone’ ini. Fungsi ini dikatakan akan hadir pada Pixel 4 kelak. Ini kerana dalam kod Android Q, terdapat satu tetapan yang dinamakan ‘display white balance‘. Walaupun tetapan ini jelas kelihatan, apabila ia diaktifkan – tiada apa-apa yang berlaku. Selepas pasukan XDA membuat siasatan, fungsi ini hanya akan berfungsi jika sebuah peranti itu mempunyai satu sensor baru. Ini bermakna, sensor ambient sedia ada tidak boleh menggunakan fungsi ini.
Seterusnya, Pixel 4 turut dilaporkan akan mempunyai cip ‘kesedaran‘. Ini secara tidak langsung memberi petanda yang Pixel 4 akan mempunyai cip Google Soli terbina. Google Soli adalah teknologi kawalan gesture atas udara yang diperkenalkan pada tahun 2015. Menurut 9to5Google yang dilaporkan oleh XDA, dalam kod Android Q terdapat tetapan untuk ‘Aware‘, ikon baru pada bar status dan juga kawalan gestur untuk langkau dan mensenyapkan media yang sedang dimainkan. Kawalan gestur seperti ini adalah seumpama LG G8 ThinQ yang membenarkan pengguna mengawal peranti seakan seorang ‘Jedi‘.
Jika benar Google akan mengimplementasikan fungsi-fungsi ini, ia pasti akan menjadikan Pixel 4 sebuah peranti yang lebih menarik. Sebelum ini imej pengolokan awal Pixel 4 sudah tertiris di web. Rekaannya dilihat seakan imej pengolokan iPhone 11 yang mempunyai rekaan kamera petak. Pasti harga Pixel 4 kelak akan dijual pada harga yang sangat mahal, kerana sensor Google Soli ini.