HP mula melancarkan HP Spectre Folio pada bulan Oktober 2018. Apa yang menarik dengan komputer riba ini adalah, bahan binaan keseluruhannya adalah berasaskan kulit. Secara tidak langsung ia menjadikan komputer riba ini lebih premium dan eksotik. Bahan binaannya tidak klise seperti banyak komputer riba lain yang menggunakan logam, aluminium atau juga magnesium. Hari ini, HP telah melancarkan komputer riba ini secara rasmi di Malaysia.
HP Spectre Folio 13 ini hadir dengan skrin pilihan 13.3″ FHD atau juga 4K. Ia dijana dengan pilihan cip pemproses i5-8200Y atau i7-8200Y yang dipadankan dengan RAM 16GB terbina dan pilihan SSD sehingga 2TB. Untuk grafik ia dikuasakan dengan cip Intel UHD 615 sahaja. Spectre Folio 13 ini turut didatangkan bersama-sama dengan 3x port USB-C, yang mana dua daripadanya adalah Thunderbolt dan satu lagi hanya untuk pemindahan data. Turut hadir dengan komputer riba ini adalah sokongan stylus HP Tilt Pen dan sistem sekuriti Windows Hello. Spectre Folio ini turut mempunyai model yang menyokong sambungan kad SIM. Untuk bateri pula, ia mempunyai kapasiti 54.28Wh dengan sokongan pengecasan 65W. Untuk pasaran Malaysia, harganya dijual bermula dari RM7,999 untuk warna Cognac Brown.
Bersama-sama dengan HP Spectre Folio 13 ini, HP turut mengemaskini beberapa komputer riba mereka yang lain dari siri Pavilion dan Envy. Yang pertama adalah HP Envy 13 yang dijana dengan cip i5-8565U atau i7-8565U. Untuk memori ia dipadankan dengan RAM 16GB dan pilihan storan Intel Optane 32GB + 512GB, SSD sehingga SSD NVMe M.2 sehingga 1TB SSD atau juga SSD SATA M.2 128GB. Grafik pada Envy 13 ini adalah Intel UHD 650 atau NVIDIA GeForce MX250. Skrin adalalah 13.3″, sistem sekuriti pula adalah pengimbas cap jari Windows Hello, untuk privasi pula adalah penutup kamera web dan turut mempunyai 2x USB-A bersama-sama dengan 1x USB-C. Bateri adalah 52Wh dengan pengecasan 65W dan untuk harga jualan, ia bermula pada RM4,099.
Lagi satu dalam siri Envy yang HP lancarkan hari ini adalah Envy x360 13. Dari nama kita sudah tahu yang komputer riba ini adalah jenis hibrid yang posisi skrinnya boleh diubah dari pelbagai mod termasuk mod tablet. Menguasakan komputer riba hibrid ini adalah pilihan cip dari AMD Ryzen 3/5/7 degan kad grafik Vega 6/8 atau RX Vega 10 yang dipadankan dengan pilihan memori sehingga 16GB RAM dan storan dalaman SSD sehingga 1TB NVMe atau SATA 128GB. Komputer riba ini mempunyai sistem sekuriti dan privasi yang baik pengimbas cap jari dan penutup kamera web. Untuk sambungan ia mempunyai 2x USB-A dan 1x USB-C dan bateri adalah 53Wh dengan sistem pengecasan 65W. Ia dijual pada harga bermula dari RM3,649 sahaja.
Jika Envy x360 adalah komputer riba hibrid premium dan berada di luar kemampuan anda untuk membelinya, HP turut melancarkan Pavilion x360 14 yang dijual pada harga bermula RM2,499. Skrin kali ini adalah 14″ dan ia dijana dengan banyak pilihan cip pemproses. Pengguna boleh memilih dari Intel Pentium Gold/Silver atau juga dari Intel Core i3/i5/i7 generasi kelapan. Untuk grafik pula adalah dari Intel UHD 605/610/620 atau MX130/MX250 yang dipadankan dengan pilihan memori sehingga 16GB RAM dan storan dari 256GB SSD + 1TB HDD, 512GB SSD, 8GB + 1TB SSHD atau juga 1TB HDD. Untuk sambungan ia mempunyai 1x USB-C, 2x USB-A dan 1x HDMI, model yang terpilih akan mempunyai pilihan pengimbas cap jari untuk sekuriti dan bateri pula hanya 41Wh sahaja.
Kesemua komputer riba ini dijual di Harvey Norman atau Lazada dan anda boleh membelinya bermula hari ini.