Apple pada tahun ini dijangka akan hadir dengan 3 model iPhone baru dengan sejumlah fungsi yang diperbaharui. Mengikut informasi yang tertiris, iPhone 2019 dijangka akan menyertakan kapasiti bateri lebih besar untuk memanjangkan penggunaan peranti.
Ia telah dikongsikan oleh laman IT Home, yang mana iPhone 2019 versi biasa dilaporkan akan hadir dengan kapasiti 3322 mAh. Kapasiti ini membawa peningkatan yang drastik selepas melihat iPhone XS hanya menyertakan kapasiti 2658 mAh.
Bagi iPhone 2019 versi ‘Max’, ia pula dilaporkan akan hadir dengan kapasiti tertinggi berbanding kesemua iPhone, iaitu dengan penyertakaan bateri 3650 mAh. Peningkatkan ini juga dilihat besar apabila dibandingkan dengan iPhone XS Max yang sedia menyertakan kapasiti 3174 mAh.
Laman tersebut juga telah mengesahkan kapasiti bateri pada iPhone XR 2, yang mana ia bakal menyertakan kapasiti yang sama seperti laporan sebelum ini. iPhone XR 2 dilaporkan akan hadir dengan kapasiti 3110 mAh dan dijangka akan menjadi iPhone dengan ketahanan bateri paling lama. Perkara ini berikutan daripada penggunaan skrin beresolusi rendah, berbanding skrin Retina HD pada kedua-dua iPhone yang lebih berkuasa.
Apple dijangka akan melancarkan ketiga-tiga model iPhone ini pada sebuah acara khas yang bakal berlangsung pada September kelak. Seperti penjualan iPhone sebelum ini, Apple dijangka akan mula menawarkannya untuk pasaran tempatan pada pertengahan Oktober tahun ini.