Cari @ Amanz

Siri Asus TUF adalah komputer riba yang memfokuskan permainan baharu daripada Asus. Ia dilancarkan pada tahun lepas dan fokus utama adalah penawaran harga mampu milik dengan spesifikasi yang memuaskan. Tahun lepas kami telah pun mengulas Asus TUF Gaming FX505, untuk tahun ini pula – mereka telah hadir dengan kemaskini model FX505 dengan memperkenalkan FX505D.

Jika FX505 hadir dengan cip Intel, FX505D pula dijana dengan cip pemprosesan AMD. Bagaimanakah prestasi komputer riba gaming yang dijana cip AMD ini? Dalam artikel ini akan saya jelaskan pengalaman penggunaannya dalam masa beberapa minggu.

Skrin

ASUS TUF FX 505D
Skrin 15.6″ FHD 120Hz
Pemproses AMD Ryzen 7-3750H
RAM 8 Gigabyte DDR4
Muatan Dalaman SSD 512GB
USB 3x USB-A, Tiada USB-C
Audio Ada Bicu Audio
HDMI Ada
Pembaca Kad Tiada
Kad Grafik NVIDIA GeForce GTX 1660 Ti 2GB
Harga Jualan RM4399

Asus TUF Gaming FX505D ini mempunyai skrin 15.6″ dengan resolusi FHD. Kadar segar paparan pula adalah 120Hz untuk unit ulasan yang diterima ini. Rekaan bingkai pada komputer riba ini adalah nipis dan memuaskan. Kualiti skrin yang baik, warna yang terang dan tajam adalah ciri skrin terbaik untuk sebuah komputer riba gaming.

Kadar segar pada komputer riba ini pula adalah 120Hz. Jadi pengalaman bermain permainan dengan grafik tinggi adalah menakjubkan. Sangat lancar dan menenangkan hati untuk lihat peralihan animasi, gerakan watak dan juga aksi dalam permainan. Selain daripada bermain permainan, skrin ini juga cukup memuaskan ketika digunakan untuk menonton apa jua video. Tidak kiralah Netflix atau YouTube, menonton drama atau filem adalah mengasyikkan.

Sedikit mengecewakan adalah skrin komputer riba ini sedikit fleksibel dan terlampau ringan, jadi ia tidak boleh dibuka tanpa bahagian bawah terangkat. Tetapi perlu ingat juga, ini adalah komputer riba ‘bajet’ – jadi banyak pengorbanan yang perlu dilakukan.

Cip, Grafik & Memori

Model baharu ini dijana dengan cip AMD Ryzen 7-3750H dan dipadankan pula dengan memori 8GB RAM dan storan dalaman 512GB SSD. Untuk kad grafik, yang terbina adalah Radeon RX Vega 10. Manakala kad grafik untuk permainan video pula adalah daripada Nvidia, iaitu GeForce GTX 1660 Ti dengan RAM 6GB.

Prestasi cip pemproses ini sebenarnya baik sahaja. Sepanjang penggunaan saya, ia tidak mempunyai masalah yang serius. Melakukan kerja-kerja melalui banyak aplikasi yang banyak juga agak menarik dan lancar. Kad grafik GTX1660 Ti ini amat membantu kerja harian saya seperti menyunting gambar atau video, membuka tab Chrome yang banyak bersama-sama dengan Firefox yang turut membuka beberapa tab lagi – ia kekal lanjar dan pantas. Walau bagaimanapun, jika tugasan yang dilakukan terlampau banyak seperti sambil menggunakan Chrome dengan tab melebihi sepuluh bersama-sama dengan video 3 minit ke atas dalam proses render – lengah masa mula terasa.

Masalah lengah masa ini berlaku jelas sekali adalah kerana  memori 8GB RAM. Jadi jalan penyelesaian yang terbaik adalah menambah RAM kepada dua kali ganda, iaitu 16GB RAM. Dengan memori dua kali ganda, prestasi turut akan berganda pantasnya. Kemudian, SSD yang digunakan adalah SATA – ia boleh lebih pantas dalam kerja-kerja pemindahan fail dan pembukaan aplikasi jika ditukar kepada SSD NVMe.

Prestasi Permainan

Tadi dalam perenggan di atas, kita telah lihat spesifikasinya yang lebih mendalam. Kini mari beralih pula kepada prestasi bermain permainan video. Permainan yang saya uji adalah PUBG, kerana itu adalah permainan yang menarik bagi saya. Mengejutkan di sini adalah, secara automatik tetapan PUBG apabila dibuka, berada dalaman tetapan ‘Ultra‘ – iaitu yang paling tinggi.  Akan tetapi beberapa tetapan grafik lain seperti V-Sync, telah ditutup. Pada saya untuk PUBG secara automatik berada dalam tetapan ini, ia sudah memadai dan mencukupi.

Jadi bagaimanakah prestasi PUBG ini? Pada awalnya saya sangkakan ia mempunyai lengah masa yang serius. Namun sebenarnya tidak, perkara yang saya sangkakan lengah masa tadi sebenarnya adalah sela masa yang disebabkan oleh sambungan Internet saya yang lemah. Sepanjang bermain PUBG, ia memberi satu pengalaman yang mengejutkan. Pengalaman bermain yang lancar, pantas, memuaskan dan sungguh mengasyikkan.

Ya, skrin 120Hz – tetapi mungkin sebab kad grafiknya yang tidak cukup kuasa seakan RTX 2060, bingkai-per-saat akan kerap turun dan tidak kekal 120Hz. Tetapi walaupun ia berlaku, ia tidak menghalang saya untuk terus bermain permainan dengan penuh khusyuk.

Saya turut membuat ujian tanda aras, jika anda ingin tahu markahnya – berikut adakah beberapa ujian berbeza yang dilakukan.

This slideshow requires JavaScript.

Ujian Sky Diver mendapat skor 18,187, Time Spy pula adalah 1,086, dan akhir sekali Fire Strike mencapai skor 2,820.

Kipas & Haba

Kipas dan haba adalah penting dalam sesebuah peranti yang memfokuskan permainan, lebih-lebih lagi komputer riba. Kipas pada Asus TUF Gaming FX505D ini berpusing dengan laju dan bising, tetapi bunyi bising yang dihasilkan adalah tidak begitu kuat dan tidak menjengkelkan. Kelajuan kipas adalah terkawal, ini mungkin kerana terdapat aplikasi yang mengawal kipas ini.

Haba pula adalah terkawal. Sepanjang penggunaan saya yang menghampiri sebulan ini, haba tidak teruk. Ia juga terkawal. Jadi komputer riba ini tidak mempunyai sebarang masalah memanas yang serius. Jadi, bagi yang skeptikal dengan cip pemproses AMD pada komputer riba usah risau dan boleh bertenang.

Bateri, Pembesar Suara & Papan Kekunci

Bateri pada komputer riba ini adalah teruk. Hanya bertahan sekitar 6 Jam sahaja. Sedikit mengecewakan, tetapi perlu ingat ini adalah komputer riba permainan video – ia mempunyai cip pemproses dan kad grafik yang agak berkuasa. Jadi ia banyak menggunakan tenaga. Namun apabila bermain permainan video, bateri hanya bertahan sekitar 4 Jam sahaja, begitu juga jika kerap kekal bersambung ke WiFi. Pengecasan pada komputer riba ini tidak pantas, ia menggunakan pengecas bulat yang klasik.

Pembesar suara pula juga cukup baik. Tidak begitu kuat dan tidak pecah, hasil audio yang seimbang, mempunyai bass dan treble yang baik. Bukanlah yang terhebat, tetapi ia memuaskan untuk sebuah komputer riba permainan video. Pembesar suara Asus TUF Gaming FX505D ini dioptimasikan dengan DTS Audio, jadi tetapannya boleh dilaras mengikut citarasa pendengaran masing-masing.

Papan kekunci Asus TUF Gaming FX505D ini mengambil masa sekitar 1 minggu untuk membiasakan diri. Di bahagian kanan ia kelihatan normal sahaja, namun di bahagian kiri Numpad adalah sedikit kecil bersama-sama dengan kunci anak panah. Kunci W,A,S,D pula mempunyai warna yang berbeza dengan kunci-kunci lain. Pengalaman menaip agak baik dan memuaskan. Cuma saya kerap tertekan kunci ‘Num Lk’ apabila ingin menekan kunci ‘Backspace’. Lain-lain adalah baik sahaja dan memuaskan. Bukanlah yang terbaik, tetapi cukup baik.

Port Sambungan Dan Aplikasi Tambahan

Asus TUF FX505D ini mempunyai port sambungan yang terhad. Ia hanya mempunyai 1x USB-A 2.0 dan 2x USB-A 3.0, 1x port LAN, 1x HDMI dan 1x port bicu audio. Kesemua port sambungan ini berada di sisi kanan komputer riba dan di sisi kiri, tidak mempunyai sebarang port sambungan. Agak kecewa kerana tidak mempunyai sebarang port sambungan USB-C, pada saya – sekurang-kurangnya ada satu port sudah mencukupi.

This slideshow requires JavaScript.

Untuk aplikasi tambahan pula, komputer riba ini hadir dengan TUF GameVisual untuk mengoptimasikan skrin mengikut kandungan yang dibuka. Ia turut mempunyai aplikasi AMD Display Optimization untuk paparan yang lebih baik. Untuk audio pula, seperti yang saya nyatakan tadi -ia mempunyai perisian DTS Audio yang boleh dilaras mengikut tetapan yang digemari. Akhir sekali, komputer riba ini turut mempunyai aplikasi ArmouryCrate. Ia adalah hab mengawal hal-hal yang berkait dengan permainan video. Contohnya RGB pada papan kekunci, alat kawalan, kipas, cip pemproses dan banyak lagi. Apa yang menarik, ia turut boleh ditambat pada peranti pintar untuk dikawal secara mudah alih.

Rekaan

Rekaan komputer riba ini penuh dengan elemen-elemen permainan video. Bersegi di sudut, banyak kekisi dan nampak agresif. Tetapi dengan warna yang ringkas, iaitu tema hitam dan kelabu metalik ia nampak kemas dan sedap mata memandang. Seperti yang saya katakan tadi, bingkai skrin adalah nipis – tetapi bahagian bawah skrin dengan logo Asus ini pada saya begitu besar dan melampau. Asus sepatutnya selarikan sahaja rekaan bingkai ini.

This slideshow requires JavaScript.

Bahan binaan di sini main peranan. Disebabkan siri TUF ini adalah siri mampu milik, jadi bahan binaan yang digunakan jelas sekali murah. Ia adalah plastik dan banyak bahagian yang fleksibel dan lentur. Unit ulasan kami ini sedikit berbeza, kerana ia mempunyai panel aluminium di bahagian belakang yang menjadikan rekaan komputer ini sedikit lebih premium.

Patutkah Ia Dibeli?

Harga komputer riba ini adalah RM4,399. Dengan spesifikasi seperti ini sebenarnya ia sudah cukup memadai. Tidak begitu murah dan tidak begitu mahal. Prestasinya amat hebat, tetapi jika ingin lebih hebat seperti variasi yang menggunakan kad grafik RTX2060 – sebanyak RM800 perlu ditambah dan itu adalah jumlah yang banyak.

Jika anda mencari satu komputer riba gaming yang baik, cukup kuasa, skrin yang cantik dan prestasi yang mengasyikkan – Asus TUF FX505D ini adalah pilihan yang baik. Tetapi perlu diingatkan dengan harga RM4,399 ini anda hanya akan mendapat variasi skrin 60Hz sahaja dan panel belakang skrin plastik dan bukannya aluminium. Saya yakin tidak ada jenama dari pesaing boleh tawarkan harga sebegini dengan spesifikasi yang sama.

Perlu diingatkan juga, ini adalah komputer riba gaming bajet – jadi banyak pengorbanan yang perlu dibuat. Untuk membantu anda, di bawah ini adalah jadual kelebihan dan kekurangan komputer riba ini;

Kelebihan Kekurangan
  • Bingkai skrin yang nipis dan kadar segar 120Hz
  • Rekaan yang agresif tetapi kemas
  • Tiada isu memanas dan kipas yang tidak bising
  • Harga murah dan mampu milik
  • Papan kekunci RGB yang boleh dikawal
  • Papan kekunci mengambil masa 1 minggu untuk biasakan diri
  • Masa pengecasan yang perlahan
  • Bahan binaan yang terlampau lemah
  • Tiada port USB-C

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd