Penguatkuasaan Sistem Pengenalan Usia Pengguna Laman Dewasa UK Ditangguh

Penguatkuasaan Sistem Pengenalan Usia Pengguna Laman Dewasa UK Ditangguh

Diterbitkan pada June 20, 2019 oleh .

Pelbagai cara digunakan oleh kerajaan bagi menghalang akses kepada kandungan dewasa di atas talian. Di Malaysia halangan dilakukan terus oleh pihak ISP. Di United Kingdom, sistem pengenalan usia pengguna diumumkan pada penghujung tahun lalu tetapi kini berkemungkinan besar akan ditangguh.

Menurut perancangan asal, penguatkuasaan sistem pengenalan usia pengguna laman dewasa akan dimulakan pada 15 Julai 2019. Tetapi laporan Sky News semalam mengatakan ia mungkin akan ditangguhkan tanpa tarikh baharu ditetapkan. Sistem ini menerima tentangan umum kerana dikhuatiri akan melanggar privasi pengguna. Sekiranya data pengguna laman dewasa tertiris, mereka mungkin menjadi mangsa peras ugut. Beberapa pungutan suara yang dilakukan turut mendapati lebih 70% penduduk UK tidak mengetahui sistem ini akan dikuatkuasakan.

Menurut perancangan awal, pengguna membuktikan identiti serta umur menerusi lesen memandu, kad kredit atau kad AVSecure. Kad AVSecure yang menggunakan rantaian blok akan dijual di 60,000 premis di UK kepada individu yang boleh membuktikan mereka cukup umur. Dengan pengenalan sistem pengenalan usia kerajaan UK berharap dapat melindungi kanak-kanak bawah umur dari terdedah kepada kandungan lucah di atas talian.


TIPS & ULASAN