Carian
Apa Yang Boleh Vivo Lakukan Dengan Teknologi 5G Mereka?
June 27, 2019 Fahim Zahar

MWC Shanghai 2019 sedikit berbeza dengan MWC Barcelona 2019. MWC di Shanghai kali ini lebih fokus kepada rangkaian, industri dan juga pembaharuan daripada teknologi yang pernah diperkenalkan di MWC Barcelona. Antara fokus utama MWC Shanghai adalah teknologi 5G, seperti rangkaian, sambungan, permainan, awan dan pelbagai lagi.

Vivo juga telah melancarkan teknologi 5G mereka dan melalui teknologi 5G mereka ini banyak yang boleh dilakukan bersama dengannya. Vivo telah membuat demonstrasi untuk empat perkara utama yang menggunakan teknologi 5G mereka dan berikut adalah apa yang boleh Vivo lakukan dengan teknologi ini;

5G Internet

Buat masa ini, rangkaian Internet kad SIM yang paling laju dan berleluasa adalah 4G/4G+ atau yang ramai kenalinya sebagai LTE. 5G adalah generasi seterusnya yang menawarkan kelajuan Internet dari berpuluh kali ganda sehingga beratus kali ganda kepantasan berbanding 4G.

Untuk peranti Vivo, saya dapat mencuba iQOO 5G yang dijana Snapdragon 855 dan dipadankan pula dengan modem Snapdragon X50. Ia menawarkan kepantasan Internet sekitar 400Mbps sehingga lebih 600Mbps. Cubaan muat turun yang mereka benarkan tadi adalah melalui gedung aplikasi mereka V-Store dan cuba memuat turun permua yang bersaiz lebih 500MB sehingga lebih 1GB. Ujian yang berjaya lakukan adalah memuat turun pelbagai permua bersaiz besar, sambil membuat ujian kepantasan Internet – ia memperlihatkan hasil yang memuaskan.

Sayang sekali, Vivo tadi telah memberitahu yang mereka telah membuat pengehadan terhadap kelajuan Internet, bagi memastikan kelajuan setiap unit demo adalah stabil. Jadi kelajuan sehingga 677Mbps tadi berkemungkinan besar hanya nilai yang rendah ia mungkin boleh mencapai sehingga 10Gbps – kerana itu adalah kemampuan rangkaian 5G.

5G EasyShare

EasyShare adalah versi AirDrop Vivo tersendiri. Seperti mana-mana peranti yang dikeluarkan dari China, mereka turut mempunyai sistem perkongsian fail tersendiri. Xiaomi dengan Mi Drop, OnePlus dengan File Dash dan banyak lagi. EasyShare sudah lama berada pada peranti Vivo, cuma kali ini mereka telah menawarkan versi 5G yang menjanjikan proses pemindahan fail yang berkali ganda lebih pantas.

Melalui 5G EasyShare ini, pengguna hanya perlu mengimbas kod QR pada laman ss.vivo.com dan boleh terus memulakan pemindahan fail. Akan tetapi kepantasan 5G hanya boleh terasa jika komputer pengguna turut mempunyai teknologi 5G. Ini bermakna, 5G EasyShare hanya boleh berfungsi jika kedua-dua peranti mempunyai sokongan 5G. Wakil Vivo turut menjelaskan yang kod QR ini turut boleh disimpan dan dikongsi melalui aplikasi permesejan. Jadi jika pengguna A berada di Malaysia dan pengguna B berada di Shanghai – mereka boleh berkongsi fail dengan pantas tanpa sebarang masalah.

EasyShare sebelum ini menggunakan laman web as.vivo.com as.vivo.com untuk perkongsian fail lama. Laman web baru ini ditubuhkan agar ia eksklusif untuk pemindahan data melalui 5G.

5G Screen Mirroring

Ramai sahaja pengguna gemar cast skrin telefon pintar mereka ke paparan kedua atau ke televisyen. Tetapi penggunaan casting ini hanya boleh dilakukan jika peranti pengguna disambungkan kepada WiFi yang sama dengan alat casting yang dimiliki.

Dengan 5G Screen Mirroring, Vivo menawarkan teknologi casting yang pantas, lancar dan hampir tiada latensi. Menurut Vivo, rekod pencapaian mereka setakat ini adalah 15ms dan kelak jika 5G sudah lebih meluas, ia mungkin akan berkurangan dan akan kelihatan seperti langsung tiada latensi – ibarat menyambungkan peranti terus ke paparan menggunakan kabel tanpa penyesuai tetapi nirwayar.

Saya cuba mengujinya tadi dan ia kelihatan menarik dan menakjubkan. Setiap tugasan yang saya lakukan berfungsi dengan lancar dan baik. Tiada sela masa yang berlaku dan kandungan dari peranti dipaparkan dengan cukup baik.

5G Cloud Gaming

Jika pada acara E3 baru-baru ini telah memperlihatkan banyak perkhidmatan penstriman permainan, di MWC Shanghai 2019 juga begitu. Cuma perkhidmatan penstriman permainan ini memerlukan kelajuan Internet yang sangat pantas agar ketika bermain permua tiada sela masa atau juga lengah masa.

Google mempunyai Stadia dan Bethesda mempunyai OrionBethesda mempunyai Orion, Vivo pula apa? Tiada nama rasmi lagi, tetapi gedung permainan video yang Vivo perlihatkan adalah ‘LightPlay‘. Dalam gedung ini terdapat lima permainan video  dan ia hanya boleh dimainkan jika pengguna melanggan dan membayar perkhidmatan setiap bulan.

Mengawal permainan ini memerlukan apa juga alat kawalan permainan. Namun, ada beberapa jenama yang tidak diiktiraf Vivo – mungkin tidak boleh langsung menggunakannya. Alat kawalan perlu ditambat kepada peranti pintar dan terus bermain permainan video yang distrimkan dari pelayan Vivo.

Permainan yang kami dapat cuba adalah Need For Speed Rival dan FIFA 2018. Need For Speed dilihat sedikit lebih lancar dan tidak mempunyai masalah yang terlampau serius. Manakala, FIFA 2018 mempunyai isu sela masa yang serius dan amat sukar untuk menjaringkan gol. Isu ini mungkin berkait dengan rangkaian 5G yang Vivo hadkan atau sistem penstriman yang masih lemah.

Untuk resolusi penstriman, is menyokong sehingga 4K 60FPS – tetapi untuk bermain pada resolusi ini kedua-dua telefon pintar dan paparan kedua memerlukan sokongan 4K juga. Peranti yang diuji untuk 5G Cloud Gaming ini adalah Vivo NEX 5G.

Kebolehan 5G ini adalah sangat luar biasa. Ia satu langkah baharu buat industri teknologi untuk terus berkembang maju. Tidak kira melalui telefon pintar atau peranti boleh pakai atau juga peranti untuk rumah pintar. Dengan kehebatan teknologi 5G Vivo ini, ia membuatkan saya sendiri rasa tidak sabar untuk menikmati rangkaian pantas dan stabil.

Komen