Cari @ Amanz

Perang perdagangan di antara China dan Amerika Syarikat semakin hangat kerana kedua-dua pihak enggan mengalah. Amerika Syarikat masih percaya China perlu adil dan membayar tarif kepada mereka apabila barang diimport masuk. Tetapi rancangan Washington untuk mengenakan tarif sehingga 25% ini menerima tentangan banyak syarikat. Pada 17 Jun lalu, Sony, Microsoft dan Nintendo menghantar saranan bersama kepada Jabatan Perdangangan A.S untuk tidak mengenakan tarif ke atas konsol buatan mereka.

Sebanyak 96% konsol di pasaran A.S diimport masuk dari China. Tarif yang tinggi akan mengakibatkan harga jualan konsol meningkat mendadak dan ini akan mendatangkan impak yang negatif kepada ketiga-tiga syarikat. Amerika Syarikat ialah pasaran terbesar industri permainan video sejak berdekad lamanya. Selain kesan ke atas Sony, Microsoft dan Nintendo, impak tarif ini turut akan dirasai oleh syarikat yang membangunkan permainan video yang berpengkalan di A.S. Jika jualan konsol lemah, jualan perisian permainan juga akan berkurangan.

Ketiga-tiga syarikat juga berkata menghasilkan konsol di luar China juga bukan pilihan yang mudah kerana majoriti komponen kini dikilangkan di China. Mencari pembekal baharu untuk konsol di luar China adalah proses yang mengambil masa.

Kenyataan bersama Sony, Microsoft dan Nintendo ini selari dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Apple, Intel. Dell dan HP. Kesemua syarikat melihat tarif tinggi yang ingin dikenakan akan mendatangkan impak yang buruk kepada ekonomi Amerika Syarikat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd