Pandang Pertama: nreal – Inilah Kaca Mata AR Sebenar!

Pandang Pertama: nreal – Inilah Kaca Mata AR Sebenar!

Diterbitkan pada June 29, 2019 oleh .

Di acara MWC Shanghai 2019, banyak pengeluar peranti hadir dengan teknologi 5G tersendiri. Di samping itu, banyak juga teknologi realiti maya dan dan realiti terimbuh yang menggunakan 5G untuk pengalaman penggunaan yang lebih baik. Saya sudah ceritakan pengalaman saya bersama Vivo AR Glass, yang mana merupakan kaca mata realiti terimbuh menggunakan teknologi 5G.

Masalah dengan rekaan kaca mata tersebut adalah rekaannya yang tebal dan sangat mirip dengan set kepala realiti maya yang biasa kita kita lihat. Oleh itu, ‘nreal‘ cuba menyelesaikan masalah tersebut dengan kaca mata AR yang hanya menyokong peranti Qualcomm.

Spesifikasi

Berat kaca mata ini adalah 88 gram dan hanya menggunakan satu kabel USB-C terbina untuk berfungsi. Jenis lensa yang digunakan adalah lensa optik dan mempunyai sudut pandangan 52 darjah. Kaca mata realiti terimbuh nreal ini turut menggunakan teknologi SLAM (Simultaneous Localization and Mapping) untuk pemetaan. Turut terbina adalah sensor 6DoF untuk penjejakan, mampu mengesan imej dan juga mampu mengesan permukaan (plane).

Jika ada yang tertanya, kenapa spesifikasinya sungguh ringkas? Ini kerana, segala kuasa buat kaca mata ini adalah daripada peranti pintar yang dijana Snapdragon 855. Ini kerana nreal hanya berfungsi dengan peranti yang mempunyai cip Qualcomm. Selain itu, ia hanyalah satu paparan kedua dalam bentuk AR dan lain-lain fungsi adalah daripada aplikasi yang dipasang dalam peranti.

Rekaan

nreal menggunakan rekaan yang sangat ringkas dan ringan. Ia lebih mirip dengan kaca mata sebenar dan dan tidak seperti Vivo AR Glass yang kelihatan sangat tebal. Untuk paparan, ia terbina dalam bahagian bingkai dan terus dipancarkan pada lensa asal. Ini bermakna, ia mudah digunakan untuk pengguna yang rabun dan memakai cermin mata.

Bercakap mengenainya, pengguna yang rabun turut boleh menempah kaca mata ini mengikut tahap rabun mereka dan lensa tambahan akan diberikan untuk pengalaman penggunaan tanpa memakai dua cermin mata. Bahan binaan adalah plastik dengan kemasan kesat dan warna yang menarik dan pusam.

Kabel terbina di bahagian kiri dan tiada apa-apa di bahagian kanan. Bahagian dalam di kawasan bingkai atas, terdapat sensor yang mengesan jika kaca mata sedang dipakai atau tidak. Di bahagian atas pula tiada kekisi atau lubang pembesar suara atau untuk mengeluarkan haba. Secara keseluruhan ia sangat mirip dengan kaca mata, cuma lebih futuristik.

This slideshow requires JavaScript.

Pengalaman Penggunaan

Seperti yang saya katakan tadi, ia sangat selesa digunakan bagi mereka yang memakai cermin mata seperti saya. Segala aplikasi adalah dari telefon pintar. Unit yang saya uji ini disambungkan kepada ZTE Axon 10 Pro 5G yang menjalankan satu pelancar khas nreal.

Kawalan adalah sangat mudah dan menyasarkan sesuatu untuk kawalan menggunakan kepala juga mudah. Kawalan lain adalah pada peranti pintar melalui kawalan sentuhan. Untuk memudahkan pengguna, semasa memakainya akan terdapat penunjuk untuk menekan atau memilih sesuatu.

Kandungan buat masa ini terhad. nreal masih tidak mempunyai permainan lagi. Tetapi untuk tujuan pembelajaran dan hiburan asas telah terbina dan mencubanya adalah satu pengalaman yang memuaskan.

Disebabkan paparannya dipancarkan terus pada lensa asas, tidak ada rasa pening kepala yang serius dan menggunakannya dalam jangka masa yang lama tiada masalah. Walau bagaimanapun, nreal terasa sangat panas dan penggunaan jangka masa lama pasti akan membawa akibat yang negatif.

Patut Atau Tidak Membelinya?

nreal juga sepatutnya adalah kaca mata AR yang menggunakan teknologi 5G. Tetapi setakat ini ia lebih kepada aplikasi realiti terimbuh yang dipaparkan dalam kaca mata.

Untuk pengalaman menggunakan kawalan daripada sensor, mengalami teknologi realiti terimbuh atau menonton wayang AR (ya, nreal boleh melakukannya) – ia sesuatu yang patut dicuba. Ini kerana ia adalah antara kaca mata realiti terimbuh yang sedia dijual seawal tahun 2020. Harga permulaan adalah $499, iaitu sekitar RM2065. Untuk pembangun, terdapat kit khas yang dijual pada harga $1199 (~RM4961). Setiap set ini dijual secara atas talian di nreal.ai.


TIPS & ULASAN