Pihak Berkuasa China Didapati Memasang Aplikasi Mengintip Pada Peranti Milik Pelancong

Pihak Berkuasa China Didapati Memasang Aplikasi Mengintip Pada Peranti Milik Pelancong

Diterbitkan pada July 3, 2019 oleh .

Apabila melancong membawa peranti pintar adalah perlu bagi memudahkan pengambilan gambar dan berhubung dengan sanak saudara. Tetapi jika anda ingin ke Xinjiang China, anda mungkin perlu berfikir dua kali kerana menurut laporan The Guardian dengan kerjasama  Süddeutsche Zeitungdan  dan New York Times, pihak berkuasa negara tersebut memasang aplikasi mengintip pada peranti pintar pelancong.

Aplikasi mengintip dengan nama 蜂采 (Fēng cǎi) dipasang pada peranti pelancong yang melawat kawasan Xinjiang dari Kyrgyzstan. Sebelum melepasi sempadan, pelancong perlu menyerahkan peranti kepada pihak berkuasa untuk diperiksa. Mereka turut meminta nombor pin keselamatan peranti dan hanya menerimanya semula selepas menanti selama sejam.

Feng Chai boleh membaca senarai buku alamat, teks dan emel di dalam peranti. Aplikasi ini mungkin digunakan untuk memantau aktiviti pelawat. Masyarakat Muslim di Xinjiang kini dipantau oleh pihak berkuasa atas alasan ingin menentang keganasan.

Setakat ini aplikasi hanya ditemui dipasang pada peranti Android sahaja. Sungguhpun begitu peranti iPhone turut akan diambil sebelum menyeberang sempadan dan mungkin kandungan boleh dibaca oleh pihak berkuasa. Alat UFED Premium keluaran Cellebrite boleh memintas sistem sekuriti bagi membaca kandungan peranti sehingga iOS 12.3. Tidak diketahui jika ia dijual kepada China.

Kami pernah melaporkan penduduk Xinjiang wajib memasang aplikasi mengintip kerajaan sekiranya tidak ingin dipenjarakan. Mereka boleh ditahan jika berkongsi maklumat seperti bagaimana berpuasa ketika bulan Ramadan dan tulisan oleh Dalai Lama.

Beijing menyangkal laporan media antarabangsa bahawa umat Islam di Xinjiang kini sedang dianiaya kerana pegangan agama mereka. Terdapat laporan masjid dan tanah perkuburan Islam dimusnahkan. Nama Islam diharamkan dan terdapat kem tahanan yang memaksa mereka memakan daging khinzir dan meneguk minuman keras.


TIPS & ULASAN