Lenovo tahun ini diihat agak aktif dengan mempromosikan peranti mereka Lenovo Z6 Pro. Namun, peranti itu sedikit mahal kerana ia adalah peranti mercu dengan kamera ‘hebat’ serta spesifikasi yang berkuasa. Oleh yang demikian, Lenovo turut hadir dengan beberapa variasi lain seperti Lenovo Z6 Lite dan yang terkini Lenovo Z6.
Lenovo Z6 dijana dengan Snapdragon 730 yang dipadankan dengan pilihan RAM 6GB atau 8GB dan storan dalaman dari 64GB atau 128GB. Skrin peranti ini bersaiz 6.39-inci daripada OLED dan turut mempunyai pengiktirafan HDR10+. Apa yang menarik dengan skrin Lenovo Z6 adalah ia menggunakan takuk kecil, tetapi hampir tiada dahi – jadi ia kelihatan sedikit unik.
Untuk kamera, Lenovo menggunakan tri-kamera yang menggabungkan lensa 24MP + 8MP lensa telefoto untuk zoom + 5MP lensa kedalaman. Untuk kamera swafoto pula, ia menggunakan lensa 16MP dengan sokongan rakaman HDR. Lenovo memuatkan saiz bateri 4000mAh yang dikatakan mampu bertahan selama 7.6 Jam bermain permua tanpa henti. Akan tetapi, pengecsannya hanya terhad kepada 15W yang agak perlahan.
Rekaan peranti ini dilihat agak premium dan kemas. Ia menggabungkan bahan binaan kaca 3D dan aluminium siri-6000. Untuk pembesar suara, Lenovo Z6 mempunyai pembesar suara yang dioptimasikan dengan Dolby Atmos. Melalui laman web Lenovo, peranti ini dilihat lebih memfokuskan kepada penggunaan skrin, permua dan juga penggunaan kasual. Lenovo dilihat tidak begitu tekankan bahagian kamera seperti mana mereka mempromosikan Lenovo Z6 Pro.
Harga jualan peranti ini dilihat agak menarik, tidak begitu mahal dan tidak begitu murah. Ia kena dengan kelasnya, yang mana dijual pada harga RMB1899 (~RM1143) untuk 6/64 GB, RMB2099 (~RM1261) untuk 6/128 GB dan RMB2499 (~RM1503) untuk variasi paling tinggi 8/128 GB. Warna yang dijual hanyalah warna biru. Sayang sekali, peranti ini tidak akan dijual di Malaysia secara rasmi.