Kementerian Pendidikan Malaysia Menyangkal Dakwaan YTL Mengenai Penamatan Kontrak 1BestariNet

Kementerian Pendidikan Malaysia Menyangkal Dakwaan YTL Mengenai Penamatan Kontrak 1BestariNet

Diterbitkan pada July 5, 2019 oleh .

Dua hari lalu, kami telah melaporkan bahawa syarikat YTL berasa kesal akan penamatan kontrak 1BestariNet, dimana Kementerian Pendidikan dilihat ingin menggantikan pelantar pembelajaran FrogVLE dengan Google Classroom.

Bukan itu sahaja, pihak YTL juga dinyahsenaraikan sebagai salah satu daripada syarikat telekomunikasi yang akan membekalkan sambungan internet kepada 10,000 sekolah rendah tempatan dibawah projek 1BestariNet tersebut.

Terkini, pihak Kementerian Pendidikan, melalui Ketua Setiausahanya Datuk Mohd Gazali Abas telah menyangkal dakwaan bahawa kementerian tersebut telah menamatkan kontrak tersebut lebih awal dari yang sepatutnya.

Menurut beliau, kontrak Kementerian Pendidikan dengan YTL telah tamat pada 30 Jun 2019, dan pihak kementerian sedang mengkaji cara terbaik untuk mengeluarkan tender untuk projek sekolah digital tersebut.

Dalam pada itu, Datuk Mohd. Gazali Abas juga mengesahkan bahawa mereka telah menerima surat daripada YTL mengenai pembekalan sambungan internet percuma sehingga penghujung tahun ini.

Ia dikatakan bahawa Kementerian Pendidikan menolak tawaran tersebut kerana terdapat kos-kos tersorok dimana pihak YTL meminta kos elektrik ditolak, disamping meminta pembayaran sewa untuk penggunaan menara-menara telekomunikasi YTL.

Tanpa yuran sewa tapak tersebut, kerajaan akan kehilangan pendapatan sebanyak kira-kira RM32.5 juta sepanjang enam bulan tersebut.

Malah, sejak permulaan projek 1BestariNet tersebut, Datuk Mohd. Gazali Abas mengatakan YTL tidak pernah membayar bil elektrik untuk menara-menara tersebut, dan apabila dimasukkan kedalam kos keseluruha, kerugian kepada kerajaan akan menjangkau RM40 juta.

Memburukkan keadaan lagi untuk YTL, ketua setiausaha tersebut juga mengatakan bahawa perkhidmatan Internet yang dibekalkan ke sekolah-sekolah ini tidak memuaskan, kerana ramai guru-guru dan para pelajar yang mengadu bahawa ianya terlalu perlahan untuk digunakan bersama-sama pelantar pembelajaran FrogVLE tersebut.


TIPS & ULASAN