Carian
Samsung Galaxy A80 Edisi Terhad Blackpink Ditawarkan Di Thailand
July 6, 2019 Effi Saharudin

Blackpink di kawasan anda! Bagi peminat muzik pop Korea, adalah mustahil untuk tidak pernah mendengar nama kumpulan Blackpink. Kumpulan yang dianggotai empat gadis genit ini terkenal di seluruh dunia dan melakukan persembahan khas ketika pelancaran Samsung Galaxy A80 di Thailand bulan Mei lalu. Di Thailand, Samsung Galaxy A80 Blackpink Exclusive Boxset telah ditawarkan.

Pakej terhad ini hadir dengan Galaxy A80 dalam waran hitam dan merah jambu lengkap dengan logo kumpulan Blackpink di bahagian belakang. Turut ditawarkan sekali ialah seutas Galaxy Watch Active dan Galaxy Watch dalam warna hitam merah jambu yang berpadanan dengan telefon pintar. Sebuah dermaga pengecas khas, empat keping gambar ahli kumpulan dan kerangka telefon turut disertakan. Pada bahagian dalam kerangka terdapat autograf dari ahli kumpulan.

Di Thailand Samsung Galaxy A80 Blackpink Exclusive Boxset dijual pada harga 32,990 THB (~RM 4433). Di Malaysia pihak Samsung masih belum melakukan pengumuman sama ada versi ini akan ditawarkan kepada peminat. Namun begitu kedai atas talian ESH Electrical tempatan ada mula membuka pra-tempah Samsung Galaxy A80 Blackpink Special Edition yang hadir dengan Galaxy Fit, pengecas, gambar dan kerangka. Namun begitu peranti hanya hadir dalam warna merah jambu sahaja.

Sumber Samsung Thailand menerusi LowYat,net

Komen