Carian
Adakah TM Merancang Penawaran “Unifi Air” Untuk Pengguna Streamyx Sedia Ada?
July 8, 2019 Aman

Salah satu perkara yang hangat diperkatakan sejak daripada tahun lepas adalah berkaitan dengan penawaran kepada pengguna Streamyx yang mana pelannya adalah agak mahal jikalau dibandingkan dengan pengguna Unifi. Kerajaan telah meminta TM untuk hadir dengan penyelesaian untuknya, dan kini hadir maklumat awal berkaitan salah satu penyelesaian yang disediakan oleh TM.

Unifi Air

Dinamakan “Unifi Air”, ia dilihat pihak Telekom Malaysia mungkin menawarkan pelanggan dengan akses jalur-lebar LTE tanpa had, sekaligus membolehkan pengguna Streamyx sedia ada menikmati internet yang lebih pantas pada kos yang lebih rendah. Melalui fail pembentangan yang hadir ke arena web, ia memperlihatkan yang mana “Unifi Air” ini akan menawarkan akses internet tanpa had pada harga langganan RM79 sebulan (berbeza dengan Unifi Wireless Broadband pada harga RM79 sebulan untuk 60GB).

Secara teknikalnya, ini mungkin sebuah penyelesaian yang amat berbaloi, memandangkan ia tidak akan memerlukan kos perbelanjaan setinggi membuat infrastruktur untuk jalur lebar tetap. Disamping itu, ia juga akan menawarkan kawasan liputan yang lebih luas, sekaligus membolehkan orang ramai menikmati internet kelajuan tinggi dengan lebih mudah.

Kami telah meminta komen daripada pihak TM mengenai maklumat tertiris ini, dan menantikan komen rasmi daripada mereka berkaitan dengannya. Dengan pihak TM yang menjanjikan akan berkongsi cadangan untuk menyelesaikan masalah Streamyx dalam masa lebih kurang sebulan lagi, sama-sama kita nantikan apakah kejutan yang disediakan pihak TM untuk para pelanggan mereka.

Terima kasih Hafiz untuk tips.

Komen