IBM Mempatenkan Jam Tangan Pintar Yang Boleh Berubah menjadi Telefon Dan Tablet

IBM Mempatenkan Jam Tangan Pintar Yang Boleh Berubah menjadi Telefon Dan Tablet

Diterbitkan pada July 9, 2019 oleh .

Peranti boleh lipat setakat ini masih dilihat gagal untuk masuk ke pasaran Malaysia. Contoh paling dekat adalah Samsung, dengan peranti Galaxy Fold mereka. Akan tetapi, gagal tidak bermakna mengalah. Ini kerana Samsung dilaporkan telah siap pun siap rekaan Galaxy Fold yang dibina semula. Peranti boleh lipat lain yang sepi secara tiba-tiba adalah Huawei Mate X, yang sehingga hari ini tiada berita mengenainya.

Terkini, satu syarikat yang tidak begitu terkenal dengan peranti boleh pakai, telefon pintar atau tablet – telah mempatenkan satu gajet yang menarik. Syarikat ini adalah IBM. Paten yang IBM daftarkan ini adalah jam tangan pintar yang skrinnya boleh dibuka untuk menjadi telefon pintar atau tablet. Agak melampau? Sekarang mungkin ya, tetapi di masa hadapan ini mungkin peranti harian yang digunakan oleh orang ramai.

Kerangka jam ini dilihat agak tebal, tetapi ia memuatkan komponen untuk menyimpan skrin yang boleh dilipat sebanyak empat kali dalam bentuk menegak atau melintang. Skrin boleh dibuka dengan cara melungsur setiap panel skrin mengikut saiz yang dikehendaki. Jumlah panel skrin yang disimpan dalam jam adalah 8, yang mana jika kesemua dibuka – ia akan berubah menjadi mod tablet.

Buat masa ini, jelas sekali jam tangan pintar seperti ini adalah bayangan IBM sahaja. Ia masih belum boleh menjadi realiti, selagi teknologi skrin boleh lipat stabil. Pertama kali IBM memperlihatkan jam tangan pintar, adalah pada tahun 2000 – melalui WatchPad. Ia menjalankan Linux dan ia sudah pun terkubur. Harapnya, impian IBM dengan jam tangan sebegini akan menjadi realiti.


TIPS & ULASAN