Cari @ Amanz

Moment kini semakin dikenali ramai dengan aksesori lensa kamera untuk telefon pintar. Lensa yang mereka bawakan bukan lensa klip biasa yang murah, tetapi jenis yang premium dan untuk kegunaan profesional. Ia secara tidak langsung menjadikan anda sebagai seorang jurugambar profesional, tetapi hanya dengan telefon pintar.

Terkini, Moment memperkenalkan lensa anamorphic untuk dron. Dron yang boleh menggunakan lensa mereka buat masa ini adalah DJI Mavic Pro Zoom dan DJI Mavic 2. Lensa ini akan memberikan kesan sinematografi terhadap rakaman video yang dirakam dengan dron. Kualitinya adalah tahap filem dan kelihatan sangat cantik. Ia akan memberikan kesan cahaya yang unik dan juga kesan silau kanta (lens flare) yang menakjubkan. Lensa ini juga dibina daripada bahan yang sangat ringan yang dinamakan Featherlight – agar tidak mengganggu gimbal pada kamera dron.

Pertama kali mereka memperkenalkan lensa ini adalah pada tahun lepas. Ketika itu ramai yang teruja, kerana dengan satu lensa modular – ia boleh menjadikan hasil rakaman video sebuah telefon pintar cantik dan kelihatan profesional. Bercakap mengenai telefon pintar, Moment turut melancarkan ‘Ultra Thin Phone Case’, yang mana adalah kerangka pelindung mereka yang lebih nipis dengan sokongan M-Lens.

Moment turut melancarkan penuras ND dengan pelbagai variasi, untuk mereka yang ingin menggunakannya secara terus pada dron atau pada lensa anamorphic mereka. Kesemua produk baharu mereka ini dijual di laman biayasama Kickstarter. Harga jualan kerangka adalah $25 (~RM103), lensa anamorphic untuk dron adalah $199 (~RM826), set penuras ND adalah $99 (~RM410) dan turut terdapat set berkas yang dijual dari $299 (~RM1237) sehingga $1799 (~RM7445). Ia akan mula dihantar ke pembeli sekitar bulan November nanti.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd