Carian
WiFi 802.11ay Menerima Pengesahan FCC – WiFi Berkelajuan 10Gbps Akan Hadir Ke Pasaran
July 15, 2019 Arib Ismail

WiFi 802.11ax baru sahaja mula mendapat tempat pada peranti pengguna, namun beberapa pengeluar telah mula menunjukkan minat untuk pembangunan WiFi generasi seterusnya. Qualcomm pada sebelum ini telah pun berkongsi mengenai perancangan mereka untuk WiFi terbaru ini, dan kini, ia telah pun menerima pengesahan daripada Federal Communications Commission (FCC).

Untuk makluman, WiFi 802.11ay menggunakan jalur (band) 60 GHz yang mana ia dapat meningkatkan kapasiti penggunaan peranti, mengurangkan kadar masa pendam (latency), dan meningkatkan kelajuan berbanding jalur 2.4 GHz dan 5 GHz. Pada Oktober lalu, Qualcomm telah berkongsi mengenai pembangunan cip WiFi terbaru yang mana turut menggunakan teknologi WiFi 60 GHz ini.

Pada acara CES 2019, pengeluar baru sahaja memanfaatkan teknologi WiFi 802.11ax untuk ditempatkan pada peranti terbaru mereka. Teknologi WiFi ini mampu memberi prestasi rangkaian yang lebih pantas, selain dapat meningkatkan keselamatan ketika pemindahan data. Antara peranti awal yang sedia menikmati WiFi 802.11ax ialah Samsung Galaxy S10e, S10, S10 Plus, dan S10 5G.

Untuk memudahkan pengguna mengenali teknologi WiFi, Wi-Fi Alliance juga telah hadir dengan penjenaman yang ringkas untuk mengkelaskan generasi WiFi ini. WiFi 802.11n dikenali sebagai Wi-Fi 4, diikuti 802.11ac (Wi-Fi 5) dan 802.11ax (Wi-Fi 6).

Namun begitu, teknologi WiFi 802.11ay masih tidak diumumkan bilakah ia akan hadir pada peranti pengguna. Namun melihat daripada penawaran WiFi 802.11ac sebelum ini, ia dijangka akan ditempatkan pada peranti pintar dalam sekitar 5 tahun akan datang.

Komen