Cari @ Amanz

Gimbal kamera membolehkan rakaman video yang lebih stabil dan lancar diambil oleh peminat videografi. Bagi mereka yang mencari gimbal yang ringan, DJI Ronin SC telah dilancarkan pagi ini khusus untuk kegunaan kamera digital nircermin.

Jika dibandingkan dengan gimbal Ronin S yang dilancarkan tahun lalu, Ronin SC adalah 41% lebih ringan. Ini berjaya dilakukan kerana tubuh Ronin SC diperbuat daripada logam magnesium, aluminium dan komposit. Tetapi pada waktu yang sama ia hanya boleh digunakan pada kamera dengan berat bawah 2 kilogram berbanding sehingga 3.6 kilogram pada Ronin S.

Dengan bateri 2450 mAh yang disertakan Ronin SC boleh berfungsi sehingga 11 jam berterusan. Sejam lebih rendah berbanding Ronin S. Bateri boleh dicas semula menggunakan pengecas berkepala USB-C. Dengan sokongan aplikasi Force Mobile, pergerakan gimbal boleh dikawal menggunakan sebuah telefon pintar. Kepala gimbal akan bergerak mengikut pergerakan girometer telefon pintar dengan sela masa yang rendah. Ronin SC dijual pada harga bermula $439 (~RM 1085) sebatang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd