Cari @ Amanz

Semakin banyak peranti tidak lagi hadir dengan sokongan bicu audio 3,5mm. Alasan yang diberikan ialah kualiti audio yang lebih baik boleh dinikmati menerusi aksesori bluetooth dan meningkatkan kapasiti bateri pada masa yang sama mengekalkan ketebalan peranti. Namun begitu aksesori audio bluetooth secara lazimnya dijual pada harga yang lebih mahal berbanding fon telinga berwayar.

Apabila Redmi AirDots diumumkan tiga bulan yang lalu kami amat skeptis bahawa ia mampu berfungsi sebagai alternatif nirwayar mampu milik. Selepas mengulas selama seminggu nyata sekali kami hanya prejudis kepada peranti murahan dan Airdots sebenarnya adalah aksesori audio nirwayar yang baik tanpa perlu merobekkan dompet.

Spesifikasi

Redmi AirDots
Jenis Fon dalam-telinga
Mikrofon Dua
Bateri 40 mAh pada fon telinga
300 mAh pada pod pengecas
Port pengecas MikroUSB
Pengecasan nirwayar Tiada
Sistem operasi disokong Android, iOS, MacOS, Windows 10
Sokongan pembantu maya Ya
Pad sesentuh Ya / 2X
Kemampuan kalis air IPX4
Storan Dalaman Tiada
Audio Offline Tiada
Pengimbas nadi Tiada
Harga Jualan RM 87

AirDots terdiri daripada dua fon telinga dari jenis dalam telinga. Setiap fon dilengkapi bateri sebesar 40 mAh manakala pod pengecasnya pula dilengkapi bateri sebesar 300 mAh. Sebagai perbandingan saiz bateri pada Samsung Galaxy Buds ialah 58/252 mAh manakala pada AirPods pula ialah 62/398 mAh.

Tambatan kepada peranti dilakukan menerusi bluetooth 5.0. Ini membolehkan ia menstrim audio menggunakan format HFP, A2DP, HSP dan AVRCP. Walaupun dipasarkan sebagai aksesori berkelas mampu milik, protokol audio yang disokong adakah setanding dengan ditemui pada aksesori yang dijual pada harga lebih tinggi.

Pada setiap fon telinga terdapat sebuah mikrofon yang membolehkan ia digunakan sebagai kit bebas tangan dan mendengar arahan suara yang diberikan untuk pembantu maya seperti Siri dan Google Assistant.

Kedua-dua fon telinga mempunyai kemampuan kalis percikan IPX4 yang membuatkannya boleh digunakan untuk aktiviti sukan. Walau bagaimanapun ini bukan ketahanan yang membenarkannya digunakan ketika berenang. Harus diingatkan pod pengecas tidak mempunyai sebarang ketahanan kalis air.

Rekaan

Dua fon telinga mempunyai rekaan seperti pil gula-gula Tic Tac. Ianya bersaiz cukup kecil yang membuatkannya selesa diletakkan ke dalam telinga. Pada bahagian sisinya pula terdapat dua butang kawalan fizikal. Kelebihan menggunakan butang fizikal ialah tiada masalah butang ditekan secara aktif sekiranya anda berpeluh.

Terdapat dua lampu LED juga di bahagian sisi. Ia akan berkelip warna putih sejurus selepas dikeluarkan dari pod pengecas sebelum ditambat. Apabila disimpan di dalam pod pengecas pula ia akan memaparkan warna merah bagi menunjukkan status ia sedang dicas. Agak aneh tiada lampu LED yang menunjukkan caj bateri pada pod pengecas.

Satu kekurangan ketara AirDots ialah bahan binaan yang terasa amat murah. Permukaan plastik yang digunakan mempunyai kemasan matte yang tidak memerangkap kotoran dengan mudah tetapi membuatkannya tidak kelihatan eksklusif. Imej pengolokan yang digunakan oleh Redmi untuk tujuan pengiklanan tidak sama seperti yang dilihat pada produk sebenar.

Kemasan yang tidak premium ini adalah pengorbanan yang dilakukan oleh Redmi bagi membolehkan AirDots dijual pada harga di bawah RM100 di pasaran. Apabila diletakkan bersebelahan Galaxy Buds dan AirPods, perbezaan kualiti kemasan adalah ketara kerana AirDots kelihatan seperti alat mainan. Tetapi sekiranya anda lebih mementingkan harga jualan berbanding kemasan premium, pengguna bahan plastik ini mungkin tidak penting membuatkan anda tidak tidur malam.

Sambungan magnetik yang digunakan fon telinga adalah agak kuat dan ia tidak akan terjatuh walaupun jika pod pengecas dipegang terbalik. Proses mengeluarkan fon telinga dari pod adalah agak leceh disebabkan sambungan yang agak kuat ini. Kami tidak mengalami masalah ini ketika menggunakan AirPods dan Galaxy Buds kerana ia mempunyai rekaan yang lebih ergonomik

Kualiti Bunyi

Secara lazimnya peranti yang dijual murah tidak akan memberikan pengalaman yang baik berbanding peranti yang dijual pada harga lebih mahal. Dalam kes AirDots ini adalah jauh menyimpang sama sekali. Pada harga jualan bawah RM100, ia sembilan kali ganda lebih murah berbanding AirPods dan lima kanda lebih murah berbanding Galaxy Bud. Namun begitu kualiti audio yang ditawarkan tidak sembilan dan lima kali ganda lebih teruk.

Kualiti audio treble adalah gemeresik jelas dan terang, Dentuman bass adakah kuat dan mantap. Ia amat sesuai digunakan untuk mendengar muzik klasik, EDM, akustik, pop dan jazz. Apabila mendengar muzik rock dan hip hop barulah beberapa kekurangan mula disedari.

Dentuman bass yang dihasilkan apabila mendengar muzik rock terasa sedikit terpendam. Pembesar suara yang digunakan tidak dapat mengikuti rentak muzik yang laju. Masalah yang sama juga ditemui apabila mendengar muzik dengan pelbagai instrumen. Audio menjadi berkecamuk dan menjadi kurang jelas. Pentas bunyi juga lebih terhad jika dibandingkan dengan Galaxy Buds yang mempunyai rekaan dalam-telinga yang sama. Tetapi rekaan dalam-telinga, AirDots boleh menapis hingar dari luar lebih baik berbanding sebuah AirPods atau fon telinga biasa. Ketika di pejabat perbualan dan muzik yang dimainkan rakan semeja dapat dihalang dengan baik.

Kualiti audio AirDots adalah sama baiknya dengan fon telinga berwayar yang diberikan bersama dengan pembelian peranti kelas pertengahan. Ini ialah fon telinga nirwayar untuk semua dan majoriti pengguna yang tidak pernah menggunakan fon telinga premium (Galaxy Buds) atau fon kepala premium (Sony 1000X M3). Sekiranya anda termasuk di dalam golongan ini, kualiti audio yang ditawarkan oleh AirDots adalah cukup memuaskan. Jika anda seorang audiophile yang mendengar audio beresolusi tinggi sepanjang masa, AirDots tidak dipasarkan untuk anda dan kami yakin anda mungkin sudahpun memiliki fon telinga/kepala yang dijual pada harga lebih premium.

Penggunaan

Tambatan dapat dilakukan dalam masa sekitar tiga saat. Untuk memulakan tambatan, AirDots perlu dikeluarkan terlebih dahulu dari pod pengecas. Dua lampu putih akan berkelip pada sisi menunjukkan ia sedang di dalam bot menambat. Nama AirDots akan tersenarai pada skrin tetapan bluetooth peranti Android dan iOS selepas beberapa saat. Ini satu lagi perbezaan fungsi pada AirDost berbanding fon telinga lebih premium. Pada fon telinga premium proses tambatan dilakukan sebaik sahaja penutup pod pengecas dibuka. Ini membolehkan fon telinga ditambat kepada peranti dan muzik distrim sebelum dipasang ke telinga, Satu langkah tambahan perlu dilakukan pemilik AirDots.

Dua butang kawalan fizikal pada sisi AirDots adalah agak ronda dan memerlukan tekanan yang kuat untuk diaktifkan. Jumlah fungsi yang boleh diakses menggunakan butang-butang ini juga agak terhad. Tekan sekali untuk menjedakan atau memainkan semula muzik. Menekan butang sebanyak dua kali pula menyeru pembantu maya. Butang tidak boleh diprogramkan semula untuk mengaktifkan fungsi lain seperti memilih lagu seterusnya. Jika ini masih ingin dilakukan, anda perlu menggunakan fungsi kawalan suara menerusi Google Assistant ataupun Siri.

Jika AirDots ditanggalkan dari telinga, muzik tidak akan terhenti secara automatik. Sokongan menyambung semula alunan muzik apabila AirDots disumbat semula ke telinga juga tidak disertakan.

Dengan kata lain AirDots ialah sebuah fon telinga nirwayar dengan fungsi yang amat asas. Fungsi-fungsi standard pada fon telinga nirwayar lebih premium yang membuatkan penggunaannya lebih mesra pengguna tidak disertakan bagi membolehkan ia dijual pada harga yang amat mampu milik.

Bateri

AirDots diiklankan dengan ketahanan bateri sehingga 4 jam dengan sekali caj. Di dalam penggunaan dunia sebenar kami hampir berjaya mendapatkan waktu penggunaan ini sekiranya audio ditetapkan pada tahap sederhana. Ini membolehkan ia dicas sebanyak dua kali menggunakan pod pengecas yang disertakan. Secara purata pod dicas setiap tiga hari penggunaan. Hayat penggunaan AirDots adalah sedikit lebih pendek jika dibandingkan dengan AirPods atau Galaxy Buds.

Apabila ditambat pada peranti Android Oreo dan ke atas, tahap caj bateri fon telinga boleh dilihat terus dari skrin tetapan bluetooth. Jadi sekurang-kurangnya tahap bateri fon telinga boleh diperiksa tanpa memerlukan aplikasi tambahan.

Keseluruhan pod dan fon telinga mengambil masa sekitar dua jam untuk dicas sepenuhnya. Memandangkan tiada lampu LED pada pod untuk menunjukkan tahan pengecasan, proses mengecas adalah sedikit leceh. Kami juga perlu mengira berapa kali pod pengecas digunakan bagi mengelakkan pod kehabisan bateri ketika disimpan di dalam beg. Ini sebuah lagi kekurangan yang ketara jika dibandingkan dengan aksesori audio yang dijual pada harga lebih mahal.

Seperkara lagi ialah pod masih menggunakan kabel mikro USB untuk dicas. Kami telah lama tidak menggunakan peranti dengan kabel pengecas dan keperluan membawa kabel mikro USB semata-mata untuk mengecas adalah sebuah lagi kekurangan yang perlu diketahui oleh bakal pembeli.

Kesimpulan

Redmi AirDots ialah fon telinga nirwayar yang memenuhi permintaan pasaran yang memerlukan aksesori audio bluetooth yang lebih mampu milik. Jika dinilai dari segi audio, ia sebenarnya adalah agak memuaskan kerana setanding dengan fon telinga berwayar yang disertakan dengan pembelian peranti kelas pertengahan. Audio yang dihasilkan terang, jelas dan nyaring. Ia tidak pecah walaupun pada kekuatan audio tertinggi. Sekiranya anda tidak pernah menggunakan fon telinga bluetooth kelas premium, kualiti audio dari AirDots adalah amat memuaskan.

Kemasan yang amat plastik membuatkannya kelihatan agak murah seperti sepasang alat mainan. Tetapi dengan harga jualan di bawah RM100, kami tidak merasakan adalah adil untuk mengkritik rekaan kurang premium ini.

Fungsi asas menjeda dan memainkan muzik disokong dengan penggunaan dua butang kawalan fizikal. Pembantu maya peranti juga bole diseru dengan mudah. Mikrofon pada AirDots boleh menangkap arahan yang diberikan untuk pembantu maya dan diugunakan untuk melakukan panggilan telefon dengan jelas.

Ketiadaan fungsi tambahan seperti muzik dijeda jika fon telinga ditanggalkan, equaliser, aplikasi khusus dan penggunaan port pengecasan mikro USB boleh dimaafkan kerana harga jualannya yang sekurang-kurangnya empat kali ganda lebih murah berbanding pesaing yang menyertakan fungsi-fungsi tersebut.

Redmi AirDots ialah fon telinga bluetooth bagi mereka yang ingin memulakan penghijrahan ke dunia nirwayar buat pertama kali tetapi tidak mahu berbelanja lebih. Bagi mereka yang tidak mendengar muzik beresolusi tinggi dan penggemar audio sejati. Redmi AirDots ialah fon telinga yang dengan mudah kami sarankan kerana menawarkan pakej yang baik pada harga yang amat mampu milik.

Pro

  • Kualiti bunyi yang memuaskan untuk harga jualan.
  • Proses menambat yang pantas dan mudah pada pelbagai jenis peranti.
  • Butang fizikal untuk mengawal beberapa fungsi asas seperti Google Assistant.
  • Selesa di dalam telinga.
  • Hayat penggunaan yang memuaskan.
  • Kemasan pusam tidak memerangkap kotoran dengan mudah.
  • Kemampuan kalis air IPX4.

Kontra

  • Kualiti kemasan yang memang kelihatan murah.
  • Masih menggunakan port pengecasan mikro USB.
  • Tiada lampu LED untuk menunjukkan tahap bateri pod pengecas.
  • Tiada sokongan pengecasan nirwayar.
  • Sukar mengeluarkan fon telinga dari pod simpanan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd