FELCRA Merintis Penggunaan Teknologi Dron dan Robotik Ke Arah Pertanian Pintar

FELCRA Merintis Penggunaan Teknologi Dron dan Robotik Ke Arah Pertanian Pintar

Diterbitkan pada July 23, 2019 oleh .

Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan atau FELCRA telah ditubuhkan pada tahun 1966 untuk membangunkan sektor luar bandar dengan membantu penduduk-penduduknya menyertai aktiviti-aktiviti ekonomi negara Malaysia dan seterusnya meningkatkan taraf hidup dan nilai kehidupan mereka. Oleh sebab ini teknologi terkini perlu diintegrasi bagi menjadikan usaha FELCRA relevan dengan peredaran masa.

Pihak FELCRA telah menandatangani perjanjian dengan MATA Aerotech bagi menggunakan teknologi dron dan robotik bagi membentuk model pertanian pintar negara selaras dengan aspirasi kerajaan
ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0). Dron bakal digunakan untuk melakukan semburan racun dan baja yang lebih tersasar. Ini mengurangkan pembaziran, pencemaran dan tidak mendedahkan pekerja ladang kepada bahan kimia berbahaya. Tenaga mereka boleh digunakan pada kawasan lain di ladang yang lebih memerlukan.

MATA Aerotech akan menggunakan teknologi dron dan robotik yang telah dibangunkan sejak 2009 di Malaysia. Teknologi dron yang sama telahpun digunakan di Taiwan dalam industri pertanian dan hasilnya ialah pengurangan penggunaan racun sehingga 25%, kos tenaga kerja
menurun sehingga 30% dan peningkatan hasil tanaman sehingga 10%.

FELCRA bukan agensi kerajaan pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi dron.  Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mempertimbangkan penggunaan teknologi ini dalam industri penanaman padi pada tahun 2017 manakala Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah menggunakan dron bagi membanteras pembiakan nyamuk.


TIPS & ULASAN