Cari @ Amanz

Semalam Toyota memperlihatkan kereta elektrik yang akan digunakan di perkampungan Sukan Olimpik 2020 dan Paralimpik 2020. Mereka turut memperlihatkan enam robot yang turut akan digunakan pada temasya yang sama tahun hadapan. Kesemua robot ini dihasilkan di bawah Tokyo 2020 Robot Project yang diumumkan sebelum ini.

Robot pertama ialah yang kelihatan seperti maskot Miraitowa dan Someity. Dengan kecerdasan wajah ia boleh mengecam raut wajah individu yang berinteraksi dengannya dan memberikan reaksi yang berpadanan. Pihak Toyota akan membenarkan kedua-dua robot dikawal oleh kanak-kanak dari jarak jauh. Apabila robot bersalaman dengan pengunjung, pengawal dapat merasainya menerusi sistem maklum balas haptik.

Seterusnya ialah T-HR3 (Humanoid Robot) yang sekali lagi boleh dikawal dari jarak jauh. Ia membolehkan insan yang tidak berada di temasya untuk menikmati acara dari pandangan mata robot. Seperti Miraitowa dan Someity, sistem maklum balas haptik membolehkan pengawal robot merasai sentuhan.

T-TR1 (Remote location communication Robot) juga mempunyai fungsi yang sama dengan T-HR3 cuma ia hadir dengan skrin LCD pada bahagian atas yang boleh memaparkan imej tubuh pengawal kepada mereka yang hadir di Sukan Olimpik 2020 kelak.

FSR: Field Support Robot pula ialah robot dengan kemampuan swapandu yang digunakan ketika acara yang melibatkan lontaran seperti lontar peluru. Ia boleh mengutip lembing dan peluru di atas padang secara automatik lebih pantas berbanding sukarelawan manusia. Sukarelawan juga tidak lagi terdedah kepada bahaya.

Akhir sekali ialah robot HSR: Human Support Robot / DSR: Delivery Support Robot yang membantu pelawat OKU ketika di stadium. HSR boleh menujukan arah kepada pelawat manakala DSR pula menghantar makanan dan minuman yang dipesan menerusi tablet.

Di acara Sukan Olimpik 2020 kelak teknologi robot digunakan sebagai avatar untuk mereka yang tidak dapat hadir kerana kekangan fizikal. Ini sama seperti teknologi fiksyen sains filem Avatar dan Surrogate.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd