Huawei pada saat ini dalam persediaan untuk melancarkan sebuah peranti kelas pertengahan dengan rekaan kamera utama berpetak. Mereka dijangka akan melancarkan peranti ini di China pada 26 Julai ini, iaitu tarikh yang sama untuk pra-jualan Huawei Mate 20 X 5G di sana.
Menurut laporan daripada Huawei Central, Huawei nova 5i Pro bakal membawa skrin berlubang sebesar 6.26-inci FHD+, cip Kirin 810, pilihan memori 6GB / 8GB RAM, dan pilihan storan dalaman 128GB / 256GB. Ia juga dijangka akan mengekalkan pengimbas cap jari fizikal di bahagian belakang, bersama kebolehan 4G dengan sokongan VoLTE.
Untuk keupayaan kamera, ia membawa bentuk kamera berpetak seumpama Huawei Mate 20, melalui padanan sensor 48MP + 8MP + 2MP + 2MP, bersama kamera hadapan 32MP. Ia juga bakal dilengkapi dengan bateri berkapasiti 4000 mAh yang boleh dicas secara pantas melalui pengecas Huawei Fast Charge 20W.
Namun begitu, peranti ini masih tidak diketahui sama ada ia akan memasuki pasaran tempatan ataupun sebaliknya. Terdapat ura-ura juga mengatakan model ini bakal dikenali sebagai Huawei Mate 30 Lite atas penawaran rekaan kamera seumpama siri Mate.