Cari @ Amanz

Bulan Mei lepas, Google telah memperkenalkan antaramuka Android Auto serba baharu. Perkara yang diubah adalah antaramuka dan juga warna tema gelap. Ketika itu tiada tarikh yang diberikan dan hanyalah perancangan sahaja.

Kini selepas beberapa bulan, Google telah mula mengedarkan kemaskini antaramuka baharu Android Auto. Dalam kemaskini baharu ini, Google telah memperkenalkan pelancar baharu. Pelancar baharu ini adalah lebih mudah untuk mengakses aplikasi kegemaran pengguna. Butang bahagian bawah kiri kini akan berfungsi sebagai butang mengakses pelancar, yang mana aplikasi yang kerap dibuka akan dipaparkan di barisan bahagian atas.

Selain itu, Google turut mengintegrasikan terus Google Assistant kepada ikon aplikasi. Aplikasi yang mempunyai integrasi ini akan memaparkan ikon Google Assistant kecil, yang mana apabila ditekan aplikasi itu tidak akan terbuka – tetapi Google Assistant akan terus membacakan kandungan dalam aplikasi tersebut. Contohnya laporan cuaca, berita atau segala peringatan harian.

Google turut menambahbaik cara media dimainkan. Mana-mana muzik atau podcast yang dimainkan dari aplikasi yang diiktiraf, ia akan sambung main daripada mana sebelum pengguna menjeda atau tamatkan. Jika pengguna memainkan muzik dari senarai main A, ia akan terus sambung dari senarai main yang sama. Google Maps juga kini mempunyai integrasi yang lebih efisien. Pengguna boleh terus tekan destinasi yang dicadangkan atau memberi arahan Google Assistant atau juga teruskan destinasi dari mana yang telah dibuka peranti terus ke Android Auto.

Menguruskan banyak aplikasi serentak juga kini telah disokong. Pengguna boleh menguruskan buka/tukar aplikasi lain sambil mendengar muzik dan juga sambil menggunakan peta. Aplikasi-aplikasi kini akan berjalan di latar agar ia lebih lancar. Segala notifikasi juga kini lebih mudah diakses tanpa pengguna lalai. Jika kereta yang digunakan mempunyai butang akses Google Assistant di roda stereng, tekan dan tahan untuk Google Assistant bantu membalas mesej atau membuat panggilan.

Untuk kereta yang lebih baharu yang mempunyai paparan yang lebih lebar, Android Auto akan memaparkan dwi-tetingkap untuk lebih mudah mengakses aplikasi, melihat notifikasi dan juga navigasi. Kemaskini ini akan hadir secara berperingkat dan terhad untuk Android Auto dalam kereta sahaja. Android Auto dalam telefon pintar hanya akan dikemaskini dengan ‘Google Assistant driving mode’ yang hanya akan diedarkan dalam masa akan datang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd