Tablet Samsung Galaxy Tab S6 akhirnya secara rasmi dilancarkan sebentar tadi. Seperti beberapa imej pengolokan rasmi yang tertiris sebelum ini, ia hadir dengan sebuah stylus bersaiz besar yang boleh disimpan secara sambungan magnetik pada bahagian belakang.
https://www.youtube.com/watch?v=yilbQbIm7UU
Dari segi spesifikasi Galaxy Tab S6 dilengkapi skrin 10.5″ SAMOLED WQXGA, dijana cip Snapdragon 855, memori sehingga 8GB RAM dan storan sehingga 256GB. Ia menyokong penambahan memori dalaman sehingga 1TB menggunakan sebuah kad mikro SD.
Ia adalah tablet pertama Samsung dengan dwi-kamera utama sebesar 13+5 Megapixel yang menggabungkan lensa sudut lebar dan lensa sudut ultra lebar. Pada bahagian hadapan pula kamera swafoto sebesar 8-Megapixel disertakan. Sebuah bateri sebesar 7040 mAh dibekalkan dengan sokongan pengecasan pantas 15W.
Stylus S-Pen mempunyai sokongan bluetooth dan bateri sebesar 0.35 mAh. Ini membolehkan ia menjadi alat kawalan jauh untuk kamera dan mengawal aplikasi pemain multimedia pada tablet. Paling menarik sekali ialah ia turut menggunakan pengimbas bawah skrin dari jenis optikal untuk imbasan biometri. Ini ialah kali pertama sistem pengimbas cap jari bawah skrin disertakan pada sebuah tablet.
Dari segi kemampuan audio pula empat pembesar suara AKG diletakkan pada setiap bucu dengan audio Dolby Atmos. Namun begitu seperti Galaxy Tab S5e, bicu audio 3.5mm tidak disertakan dan penyesuai tidak diberikan secara percuma dengan setiap pembelian.
Dengan aksesori papan kekunci Book Cover Keyboard, Galaxy Tab S6 akan berubah menjadi sebuah komputer riba dengan antaramuka Samsung DeX. Aksesori yang sama menyertakan tongkat boleh laras serta pad sesentuh secara terbina. Samsung Galaxy Tab S6 ditawarkan dengan tiga warna iaitu Mountain Gray, Cloud Blue dan Rose Blush. Harga jualan bermula dari $650 (~RM 2681) sebuah dengan versi WiFi dan LTE ditawarkan bermula September ini.