Cari @ Amanz

Bulan Oktober tahun lepas pembangun di XDA telah menemui bukti yang Google mungkin akan memperkenalkan perkhidmatan langganan bulanan Google Play. Perkhidmatan ini dinamakan sebagai Play Pass. Selepas bukti itu ditemui langsung tiada kemaskini atau berita berkaitan Play Pass, sehinggalah baru-baru ini ia ditemui oleh Android Police.

Perkhidmatan Google Play Pass ini dilihat menawarkan beratus aplikasi premium tanpa sebarang iklan, tidak perlu dibeli dan juga bebas dari segala belian dalam aplikasi. Menurut butiran dalam imej tangkapan skrin yang disertakan, langganan ini turut akan sertakan aplikasi seperti aplikasi muzik premium, pelbagai permua dan juga aplikasi menjejak kesihatan. Antara permua yang kelihatan adalah Marvel Pinball dan Stardew Valley, jumlah dua aplikasi ini adalah RM38.89 – tetapi dengan langganan Play Pass, dua permua ini adalah ‘percuma’.

Harga langganan yang ditawarkan adalah $4.99 (~RM20.68) sebulan dan percuma percubaan selama 10 hari. Pihak Android Police turut telah berhubung dengan Google bagi mengesahkan hal ini dan ia masih lagi dalam bentuk percubaan. Google juga tidak kongsikan lagi berkaitan langganan ini.

Tetapi untuk pengguna Android yang kerap membeli aplikasi dan permua, langganan ini mungkin berbaloi. Bayangkan sahaja dengan harga RM20.68 anda sudah boleh memainkan dua permua berharga hampir RM40 ‘percuma’. Tidak pasti lagi siapakah pembangun yang akan sertai program langganan ini, harapnya akan ada lebih banyak aplikasi atau permua terkenal sertai agar langganan ini akan menjadi lebih berbaloi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd