Cari @ Amanz

Tujuh dekad yang lalu, bateri hanya digunakan oleh askar infantri yang membawa kelengkapan radio. Dengan kemajuan teknologi, bateri kini dibawa oleh kesemua askar infantri tentera Amerika Syarikat ketika melakukan operasi. Bagi memenuhi keperluan kelengkapan elektronik yang semakin meningkat, pihak tentera A.S kini sedang membangunkan bateri berkapasiti lebih tinggi.

Pada waktu ini secara purata seorang askar infantri perlu membawa bateri seberat 9.4 kilogram untuk melakukan misi selama 72 jam. Bateri diperlukan untuk membekalkan kuasa kepada radio, komputer, teropong waktu malam dan sistem bidikan elektronik senjata. Dengan penggunaan teknologi anod silikon, saiz dan berat sebuah Conformal Wearable Battery (CWB) dapat dikurangkan sebanyak 29% tetapi mengekalkan kapasiti tenaga yang dapat disimpan.

CWB ialah bateri boleh lentur dan nipis yang digunakan oleh tentera infantri Amerika Syarikat pada waktu ini. Rekaannya membolehkan ia disimpan pada rompi kalis peluru yang dipakai. Pembangunan bateri berkapasiti lebih tinggi yang ringan amat diperlukan memandangkan keperluan tenaga yang semakin tinggi di masa hadapan. Pendigitalan medan perang dan penggunaan dron peribadi untuk pengintipan telahpun diperkenalkan tahun ini.

Sekiranya pembangunan berjalan lancar, ujian prototaip 200 unit CWB dengan anod silikon akan dilakukan pada bulan Julai 2020 ketika latihan IVAS Soldier Touchpoint 3.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd