Seperti yang kami laporkan semalam, kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bersama-sama dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini mengumumkan dimana siaran televisyen tempatan akan berubah dari siaran analog ke siaran digital ke seluruh negara, dan usaha ini akan dijalankan secara berperingkat bersama-sama dengan MyTV dan perkhidmatan myFREEVIEW.
myFREEVIEW ialah perkhidmatan penyiaran digital yang akan digunakan untuk menyiarkan rangkaian=rangkaian televisyen tempatan, termasuklah RTM, TV3, 8TV dan sebagainya. Menurut Al=Ishsal Ishak, pengerusi SKMM, sebanyak 15 rangkaian televisyen kini bersedia untuk memberi rakyat Malaysia kandungan televisyen menarik untuk ditonton setiap hari.
Pada 21 Julai 2019, Pulau Langkawi merupakan kawasan pertama di Malaysia dimana siaran TV analog dimatikan dengan sepenuhnya bukan sahaja untuk menguji kemampuan siaran digital myFREEVIEW, tetapi juga untuk menguji apakah cara yang terbaik untuk mengagihkan dekoder DVB-T2 yang diperlukan untuk mengakses siaran digital tersebut.
Siaran digital melalui myFREEVIEW bukanlah sesuatu yang baru. SKMM telah membuat pengumuman pada pertengahan tahun ini dimana siaran digital tersebut sudahpun meliputi 98 peratus daripada kawasan penduduk di negara ini, dimana mereka sudahpun boleh menonton kandungan digital tersebut.
Ujian rintis yang dijalankan adalah untuk menguji kestabilan siaran digital tersebut, disamping untuk memastikan semua rakyat Malaysia bersedia untuk menerima rangkaian-rangkaian digital ini sebelum siaran analog ditutup sepenuhnya.
Al-Ishsal Ishak berkata lagi bahawa bermula 19 Ogos, ujian rintis siaran digital akan bermula di negeri-negeri di kawasan selatan dan tengah, termasuklah Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur.
Peringkat seterusnya, yang akan bermula pada 2 September akan melibatkan negeri-negeri di bahagian utara, seperti Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.
Fasa seterusnya akan melibatkan ujian rintis dan penutupan siaran analog negeri-negeri pantai timur Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula 17 September, dan akhirnya Sabah dan Sarawak pada 30 September 2019.
Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, kerajaan menjangkakan bahawa siaran analog televisyen ini akan ditutup secara sepenuhnya pada tahun 2020, dimana siaran digital ini akan terus menggantikan siaran analog. Ia juga telah disahkan bahawa spektrum yang dibebaskan akan digunakan untuk tujuan rangkaian 5G akan datang.
Diantara rangkaian-rangkaian yang akan dapat ditonton melalui myFREEVIEW ini termasuklah RTM, TV3, 8TV, TV Al-Hijrah, CJ WOW Shop dan banyak lagi secara percuma.
Mereka yang berminat untuk melihat sendiri kualiti perkhidmatan siaran digital ini boleh membeli dekoder yang diperlukan untuk menggunakannya melalui laman web myFREEVIEW, ataupun membeli televisyen yang hadir dengan sokongan IDTV (Integrated Digital Television).