Carian
Google Maps Menawarkan Fungsi Navigasi AR Untuk Semua, Menambah Garis Masa Perjalanan Dan Tab Tempahan
August 9, 2019 Fahim Zahar

Semalam Google telah mengemaskini Google Maps dengan antaramuka baharu untuk navigasi selok-belok. Hari ini, Google mengumumkan yang banyak lagi perubahan akan diberikan pada Google Maps. Menggunakan Google Maps akan menjadi lebih baik, efisien dan seroonok. Berikut adalah perkara-perkara baru dalam Google Maps;

Navigasi Realiti Terimbuh Live View Untuk Semua

Semasa Google I/O 2019, Google memperkenalkan navigasi AR yang dinamakan Live View. Ia adalah fungsi melihat selok-belok untuk pejalan kaki menggunakan teknologi realiti terimbuh. Ketika itu ia hanya terhad untuk peranti Pixel sahaja, kini Google akan tawarkan fungsi yang sama untuk semua peranti.

Fungsi ini akan menggunakan API Google Play Services for AR untuk Android dan Apple ARKit untuk peranti iOS. Ia akan hadir dalam Google Maps versi beta bermula minggu ini.

Perjalanan Yang Lebih Tersusun

Jika anda perasan pada aplikasi Google Maps, baik untuk Android atau iOS – di menu sebelah kiri akan terdapat menu ‘Your places’. Pada menu ini ia memaparkan destinasi kegemaran, destinasi yang ditanda/simpan, sejarah destinasi yang pernah dilawati, peta yang disimpan dan banyak lagi. Google kini akan menambah tab ‘Reservations’ pula.

Melalui tab ini, ia akan memaparkan segala tempahan yang dibuat oleh pengguna seperti tempahan kapal terbang, hotel, homestay dan lain-lain. Data ini diperoleh daripada Google Calendar pengguna dan terus dipaparkan pada Google Maps. Dengan ini, pengguna akan lebih mudah lihat rancangan perjalanan melalui Google Maps sahaja ketika melancong atau bekerja.

Cadangan Restoran Menarik Dan Makanan Kegemaran

Google Maps sebelum ini telah pun menambah fungsi memaparkan menu makanan dari restoran terpilih dan restoran yang sohor kini. Untuk menjadikan fungsi berkaitan makanan dan restoran ini lebih menarik, Google memperkenalkan Your Matches.

Fungsi ini akan mencari makanan yang digemari pengguna. Google menggunakan data-data berdasarkan restoran yang pernah pengguna pergi. Melalui fungsi ini juga, restoran yang terpilih akan memaparkan butang menempah meja dan juga memperlihatkan sama ada restoran itu sesak atau tidak.

Kongsi Sejarah Perjalanan

Setiap bandar atau negeri atau negara yang anda lawati, Google boleh kesan melalui Google Maps – jika anda menggunakannya. Dengan itu, terhasil satu garis masa yang memaparkan sejarah perjalanan pengguna. Contohnya, jika anda melawat Kuala Lumpu dan pergi ke tempat-tempat menarik seperti pusat membeli-belah, makan di restoran yang menarik, atau pergi ke muzium – ia akan terpapar dalam satu garis masa yang boleh dikongsi kepada orang ramai.

Jadi dengan fungsi ini, pengguna bolehlah buat bebenang di Twitter ‘100 RT saya akan kongsikan rancangan perjalanan menarik saya dengan harga RMxx’. Anda hanya perlu berikan pautan khas yang boleh dijana melalui Google Maps.


Semua fungsi ini akan mula diedarkan secara berperingkat bermula minggu ini. Pengguna Google Maps iOS dan Android kelak boleh menikmati kesemua fungsi ini. Ada yang terhad kepada negara terpilih dan ada juga akan diedarkan secara global. Sama-sama kita nantikan.

  • Muat Turun Google Maps Untuk iOS Di App Store
Komen