Amerika Syarikat sebelum ini telah mengumumkan halangan dagangan bersama pihak Huawei, sebelum memberikan tempoh selama 90 hari sebagai proses peralihan. Hari ini, pihak kerajaan Amerika Syarikat mengumumkan yang mana tarikh yang sepatutnya tamatnya pada hari ini, dilanjutkan lagi selama tambahan 90 hari – sehingga 19 November 2019 kelak.
Dengan lanjutan tarikh ini, ia sekaligus memberikan akses kepada pihak Huawei untuk terus berurusan dengan syarikat di Amerika Syarikat untuk menguruskan rangkaian telekomunikasi sedia ada, selain turut menawarkan kemaskini perisian untuk peranti-peranti Huawei.
Sebelum ini, Amerika Syarikat telah mengatakan rangkaian dan peranti Huawei mungkin digunakan China untuk tujuan mengintip – namun, pihak Huawei telah menidakkan perkara ini beberapa kali, selain turut meminta pihak yang menuduh untuk membuktikannya.
Pada masa yang sama, Huawei turut telah dalam persediaan dengan alternatif mereka tersendiri. Sebelum ini, Huawei telah mengatakan mereka bersedia untuk beralih kepada sistem operasi Harmony OS sekiranya mereka dihalang daripada menggunakan Android, selain baru-baru ini turut telah hadir dengan EMUI10 yang menawarkan antaramuka serba baru. Sekiranya hal ini berlaku, ia juga secara tidak langsung akan memberikan impak terhadap pihak Google di Amerika Syarikat, selain sejumlah syarikat lain yang turut berurusan dengan Huawei.